Koeman dalam tekanan, terikat seri menentang Cadiz

MADRID, 24 SEPT – Barcelona mengharungi tiga perlawanan tanpa mencatatkan kemenangan selepas gergasi Catalan itu terikat seri tanpa jaringan ketika menentang Cadiz sekali gus melemahkan kedudukan Ronald Koeman sebagai pengurus.

Lebih parah, Frenkie de Jong dibuang padang pada minit ke-65 di Stadium Ramon de Carranza namun berjaya membawa pulang satu mata buat pasukan kendalian Koeman, yang turut dilayangkan kad merah pada masa kecederaan.

Koeman masih lagi dilihat akan mengendalikan pasukan bagi perlawanan di laman sendiri menentang Levante pada Ahad ini. Akan tetapi ia nampak seolah-olah menunggu masa bagi kelab untuk menggantikan pengurus tersebut.

“Anda perlu memenangi setiap perlawanan, tetapi anda perlu menjadi realistik, anda perlu melihat skuad yang ada, pemain yang kami kehilangan,” kata Koeman.

Barcelona ketika ini tujuh mata di belakang pendahulu La Liga, Real Madrid, meskipun bermain kurang perlawanan, ditambah ketika memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan kurang memberangsangkan selepas kekalahan 3-0 di tangan Bayern Munich minggu lalu.

Keputusan seri 1-1 yang dicatat ketika menentang Granada pada Isnin sedikit sebanyak meningkatkan semangat pasukan, dengan Koeman menerima kritikan selepas tamat perlawanan dengan pemain tengah, Gerard Pique dan Ronald Araujo bermain sebagai penyerang.

Dia enggan menjawab sebarang soalan, sebaliknya hanya membacakan kenyataan dan meminta supaya bersabar serta menegaskan proses pembangunan semula pasukan ‘memerlukan sokongan padu’.

Koeman menurunkan pemain remaja berusia 17 tahun, Gavi di bahagian tengah dan Yusuf Demir, 18, di bahagian hadapan, sementara Luuk de Jong mengetuai serangan. – AFP

Reaksi Frenkie de Jong selepas dilayangkan kad merah semasa pertemuan menentang Cadiz, kelmarin. – AP