Koepka pemain terbaik Jelajah PGA

MIAMI, 10 Okt – Brooks Koepka, juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan Kejuaraan PGA tahun ini, diumumkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Jelajah PGA AS semalam, selepas memenangi undian dalam kalangan pemain jelajah itu.

Pemain AS berusia 28 tahun itu memenangi Trofi Jack Nicklaus selepas kempen 2017-18 yang bersejarah apabila menyaksikan dia mempertahankan gelaran Terbuka AS di Shinnecock sebelum menyekat Tiger Woods dari meraih kejuaraan utama ke-15 pada pusingan akhir mendebarkan di Bellerive, Ogos lalu.

Koepka, yang tidak beraksi hampir empat bulan awal tahun ini kerana kecederaan pergelangan tangan kiri, turut meraih empat penamat 10 terbaik musim ini, termasuk naib juara pada kejohanan Juara-juara HSBC WGC dan di Colonial.

“Brooks mencetus satu fenomena (golf) baharu dalam Jelajah PGA dan anda menyaksikan keputusan tahun ini dengan musim bersejarah pada kejohanan utama,” kata pesuruhjaya jelajah, Jay Monahan.

“Pencapaian ini diraih sekalipun terlepas banyak masa kerana kecederaan, bukti terhadap etika kerja dan ketabahannya sepanjang musim ini.”

Finalis yang lain bagi anugerah itu termasuk pemain England, Justin Rose, juara Terbuka British, Francesco Molinari dari Itali dan pemain AS, Dustin Johnson, Bryson DeChambeau dan Justin Thomas.

Koepka menjadi pemain pertama sejak Curtis Strange pada 1988-89 untuk memenangi kejuaraan Terbuka AS berturut-turut, kemudian merangkul trofi utama ketiganya pada Kejuaraan PGA ke-100 dengan rekod kejohanan 16 bawah par 264 bagi 72 lubang. – AFP

Gambar fail pada 12 Ogos 2018 menunjukkan Brooks Koepka menjulang Piala Wanamaker selepas memenangi Kejuaraan PGA di Kelab Bellerive County di St. Louis. – AP