Kohort pertama WFA Progresif dirai

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Enam orang wanita telah berjaya menamatkan kursus pertama Akademi Masa Depan Wanita (WFA) Progresif dan diraikan pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Progresif, baru-baru ini.

Dikendalikan oleh Certified Life Coach dan Master Practitioner of Neuro Linguistic Programming, Dayang Lisa Ibrahim, kursus merangkumi 18 sesi masterclass dan bengkel yang bermatlamat untuk menghubungkan wanita dengan cita-cita kehidupan dan kerjaya besar kepada alat dan bimbingan yang diperlukan untuk berjaya.

Pertama seumpamanya di negara ini, WFA direka untuk membantu wanita mengenal pasti kekuatan mereka, menetapkan sasaran-sasaran pintar dan mendapatkan strategi-strategi efektif untuk mengejarnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, disebabkan semua peserta awal merupakan usahawan dengan sasaran untuk berkembang, Dayang Lisa membantu mereka mengubah cabaran-cabaran kepada kemungkinan dengan penekanan ke atas mendapatkan penjelasan, fokus dan mengambil tindakan ke arah mencapai kehidupan dan perniagaan yang mereka inginkan.

Kenyataan menyatakan, inisiatif berkenaan diperkenalkan susulan pelancaran platform pendidikan Progresif Minds pada tahun lalu dan membentuk sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang lebih besar untuk menyokong pendidikan dan keusahawanan di Brunei.

Gambar ramai pada majlis penyampaian sijil kepada kumpulan pertama peserta kursus di Ibu Pejabat Progresif, baru-baru ini. – Gambar serahan Progresif

Dibangunkan dengan kerjasama Womennovation Brunei, inisiatif pemerkasaan wanita tempatan di bawah Projek Big BWN, WFA Progresif melantik Dayang Lisa sebagai calon untuk membimbing peserta.

Beliau mempunyai lebih 20 tahun pengalaman menjalankan syarikat-syarikat serta pelbagai usaha sama keusahawanan dan kini memulakan kerjaya sebagai jurulatih.

Mengulas mengenai inisiatif berkenaan, Ketua Strategi Jenama Progresif, Dayang Hafiza Mohamad dipetik menyatakan, “Sebagai sebuah syarikat yang dedikasi kepada memberi balik kepada masyarakat, Progresif sentiasa berusaha untuk menyokong inisiatif-inisiatif inovatif dan baharu yang bermatlamat untuk memberikan hasil positif kepada masyarakat.

“Dengan keusahawanan sebagai salah satu tonggak utama CSR kami (di samping alam sekitar, kesenian dan kebudayaan serta pendidikan), menyokong pembangunan kehidupan dan kerjaya wanita di Brunei adalah sangat wajar,” tambah beliau.

Kenyataan turut memaklumkan bahawa kohort kedua akan dibuka pada Mac 2021.