Kokain dirampas dari kapal layar mewah

LONDON, 12 SEPT – Pihak berkuasa United Kingdom (UK) merampas dua tan kokain dalam serbuan ke atas kapal layar mewah di luar pesisir dekat selatan England, menurut Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) hari ini.

Pihak berkuasa British berkata mereka menahan enam individu pada petang Khamis, selepas menemukan dadah yang dianggar bernilai 160 juta pound dalam kapal layar yang mengibarkan bendera Jamaica, sedang berlayar dari Caribbean.

Seorang lelaki British ditahan kerana disyaki terbabit sama mengedar dadah bersama lima warga Nicaragua. NCA turut menyiarkan gambar dadah yang disimpan dalam beberapa beg kalis air berwarna hitam, diletakkan di ruang rehat dekat dok kapal layar Kahu.

“Tiada kesangsian lagi bahawa dadah ini akan dijual kepada komuniti seluruh UK,” kata Timbalan Pengarah NCA, Matt Horne. Katanya, dengan rampasan itu, ia akan melenyapkan ‘lubang’ rancangan dan kemampuan kumpulan penjenayah terancang (OCG) untuk beroperasi.

Menurut NCA, pihaknya memintas kapal layar itu ketika ia berada 130 kilometer di luar pesisir Pelabuhan Plymouth, selepas menerima bukti yang diperoleh dari operasi khas oleh Polis Persekutuan Australia yang turut sama menyertai serbuan itu. – AFP