Koko asli Ghana intai pasaran antarabangsa

TEMA – Ketika Ghana bersiap sedia untuk menampilkan barisan produk eksport tradisi dan bukan tradisi yang terbaik di Ekspo Import Antarabangsa China 2018 (CIIE) yang berlangsung dari 5 hingga 10 November di Shanghai, sebuah syarikat telah menyatakan bahawa ia memiliki manfaat tersendiri melalui penyertaan eksport itu sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mengembangkan dan mengeksport produk mereka ke China.

Niche Cocoa, sebuah syarikat pemprosesan koko di Ghana milik sepenuhnya sebuah syarikat yang terletak di Kawasan Bebas Zon di Tema 25 kilometer di timur bandaraya Accra cukup bersemangat untuk menantikan peluang bagi mempamerkan produknya yang terbaik untuk diketengahkan bagi pasaran China.

Pengurus Kawalan Kualiti Niche, Francis Kangah ketika diwawancara bersama Xinhua menjelaskan bahawa syarikat itu telah ditubuhkan pada Mei 2011 di mana ia telah melakukan pengeksportan produk koko dalam bentuk cecair dan juga mentega ke beberapa buah destinasi utama di Eropah termasuk Switzerland, Jerman, Belanda, Sepanyol dan Rusia.

Walau bagaimanapun, Kangah turut menjelaskan bahawa pasaran China kini semakin kuat jika dibandingkan dengan pasaran di Eropah, di mana syarikat itu juga telah mengeksport kek dan serbuk kokonya ke China berikutan daripada faktor prospek yang sangat menjanjikan.

“Kami mula mengeksport produk ke China kira-kira tiga tahun yang lalu, di mana kami menghantar kebanyakan kek dan serbuk berikutan daripada faktor permintaan yang semakin meningkat,” jelasnya sambil menambah bahawa syarikat itu kini mengeksport kira-kira 40 peratus kek dan serbuk koko ke China.

Pekerja di kilang Ghana yang cukup gigih dalam kerja-kerja pembungkusan coklat untuk dipasarkan. – Xinhua

Antara coklat buatan Ghana yang dipasarkan di pasaran negara itu dan di peringkat antarabangsa. – Xinhua
Coklat buatan Ghana memiliki khasiat yang cukup baik terutama apabila ia dihasilkan daripada biji koko yang bermutu tinggi. – Xinhua

Dalam usaha untuk menambah nilai kepada koko, Niche juga telah mengusahakan kilang konfeksi dan mula menghasilkan produk Coklat Niche yang dihasilkan daripada biji koko asli dari Ghana pada tahun 2017.

Penubuhan kilang itu pada mulanya adalah dengan tujuan untuk memenuhi pasaran Ghana di samping satu lagi jenama coklat keluaran negara itu, Golden Tree yang dihasilkan oleh syarikat pemprosesan koko milik negara itu.

Seiring dengan trend pertumbuhan dan peningkatan ketara pada jumlah eksport kek dan serbuk ke China dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Niche turut membayangkan akan peningkatan pada permintaan dalam tempoh masa terdekat ini.

“Khidmat penghantaran itu dijangka akan terus berkembang seiring dengan permintaan yang diinginkan oleh China,” jelasnya yang cukup percaya bahasa pasaran di China sememangnya merupakan satu pasaran yang cukup menjanjikan bagi produk coklat Niche.

Sememangnya ia telah menjadi antara strategi kerajaan Ghana untuk meningkatkan pemprosesan koko tempatan kepada sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah pengeluaran tahunan dalam tempoh jangka masa yang sederhana.

“Sekiranya China telah mula mengimport coklat dari Ghana setentunya ia juga turut meningkatkan penambahan nilai kepada koko,” jelasnya sambil menambah bahawa CIIE telah menyenaraikan beberapa buah negara di Afrika Utara sebagai negara yang memiliki peluang baik untuk mengetengahkan produk coklatnya yang diperbuat daripada biji koko asli dari Ghana.

“Peluang untuk mengeksport produk ke China setentunya merupakan satu peluang perniagaan baik. Coklat itu sendiri memiliki rasa yang enak dan bahan pembuatannya juga terdiri daripada biji koko terbaik di dunia,” jelasnya.

Kangah turut melahirkan harapan semasa pameran tersebut agar syarikat itu akan berjaya mengikuti kehendak yang diinginkan oleh pembeli di China yang sememangnya berkeinginan untuk menikmati sendiri keenakan biji koko dari Ghana yang cukup terkenal sebagai antara yang terbaik di dunia.

Di samping itu, Kangah juga turut menjelaskan bahawa syarikatnya telah berusaha untuk menubuhkan anak syarikat di China bagi membawa syarikatnya agar lebih dekat kepada pengguna di pasaran itu.

“Ekspo itu secara tidak langsung dilihat merupakan peluang terbaik untuk memenuhi impian tersebut,” jelasnya.

Bagi tempoh jangka masa yang panjang, koko kekal menjadi sumber ekonomi Ghana di mana ia berupaya untuk memberikan peluang pekerjaan kepada 800,000 petani dan pekerja sektor koko yang lain. Malah ia juga turut menjadi sumber pendapatan utama pada pertukaran asing.

Dengan jumlah 900,000 tan metrik kacang yang dihasilkan pada tahun tanaman 2017/2018, maka setentunya negara itu berupaya untuk mengumpulkan sekitar AS$1.3 juta melalui hasil daripada penjualannya.

Selain daripada syarikat pemprosesan koko milik kerajaan negara itu, ternyata tidak banyak usaha lain yang dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan daripada kapasiti pemprosesan yang terhad dan lebih-lebih lagi apabila ia diubah menjadi satu produk yang siap sedia. Dari situ, negara tersebut kekal menjadi pengeksport biji koko iaitu sekitar 20 peratus daripada biji koko yang diproses di dalam negara. – Xinhua