Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Kolaborasi mantapkan pertolongan kecemasan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Dalam usaha mengukuhkan kerjasama dan komitmen dalam pertolongan kecemasan, kesihatan mental dan bantuan sokongan sosial, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam, hari ini telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) perkongsian pintar bersama empat buah syarikat milik kerajaan (GLC) di Bangunan PGGMB, di ibu negara.

    GLC yang dimaksudkan ialah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Progresif Sdn Bhd, dan Makan Ceria Sdn Bhd.

    Majlis penandatanganan dihadiri oleh tetamu kehormat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Menandatangani bagi pihak BIBD ialah Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hajah Noraini binti Haji Awang Sulaiman; Perbadanan TAIB diwakili oleh Pengarah Urusan, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, bagi pihak Progresif ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar dan bagi pihak Makan Ceria Sdn Bhd pula ditandatangani oleh Pengurus Besar, Awang Mohd Alfatah bin Haji Seruji. Manakala pihak PBSM Negara Brunei Darussalam diwakili Presiden, Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussoff bin Pengiran Haji Bahar. Majlis turut dihadiri oleh delegasi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah di Geneva, berpangkalan di Kuala Lumpur yang diketuai oleh Martin D Boer. Perjanjian tersebut juga menunjukkan komitmen yang tinggi daripada GLC berkenaan dalam memberikan sokongan padu, kerjasama dan bantuan serta sumbangan yang pelbagai kepada PBSM sebagai sebuah badan berkanun sukarela di negara ini.

    Menerusi MoU itu juga mempromosikan kesedaran awam terhadap penyakit tidak berjangkit, membudayakan keselamatan di jalan raya, memperkasa kebolehan masyarakat awam dalam menyelamat nyawa dengan kaedah CPR dan penggunaan mesin AED, menjadikan gaya hidup sihat sebagai pemangkin kesejahteraan masyarakat dan membantu aspirasi negara bebas daripada tembakau dan beberapa program lain yang mementingkan keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan awam. Kerjasama dan kolaborasi antara PBSM dan GLC bukanlah sesuatu yang baru tetapi telah bermula sejak penularan wabak pandemik COVID pada 2020, di mana syarikat-syarikat tersebut telah aktif membantu dan memberikan sokongan padu dari segi bantuan kewangan, teknikal, sukarelawan dan logistik kepada persatuan berkenaan.

    Persatuan tersebut berharap semoga dengan MoU berkenaan, program itu akan dapat dimanfaatkan bersama untuk kebaikan dan keberuntungan kedua-dua belah pihak dan kepentingan keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan umum dapat ditanai secara bersama.

    Presiden PBSM, Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Yussof bin Pengiran Haji Bahar bertukar-tukar MoU dengan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Awang Sulaiman sambil disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Martin De Boer.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai bersama wakil syarikat pada majlis penandatanganan yang berlangsung di di Bangunan PGGMB,di ibu negara baru-baru ini.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...