Oleh Amri HTZ
SAMBUTAN Aidilfitri masih hangat dirasakan walaupun ia telah memasuki minggu kedua. Ruangan-ruangan rumah turut dikekalkan dengan pelbagai perhiasan selain kebersihan semata-mata untuk menyambut para tetamu yang bertandang. Namun jika terdapat ruangan yang dirasakan kosong dan kurang menarik, anda masih mempunyai masa untuk menghiasinya dengan kolam mini dengan tumbuhan akuatik sebagai penyeri Aidilfitri terutama sewaktu rumah terbuka.
Barangan yang diperlukan
Bagi mereka kolam mini dengan tumbuhan air ini, beberapa barangan penting yang diperlukan ialah bekas plastik (mixing tub), kepingan papan, batu akuarium, tumbuhan air (bebas), pam penyedut air solar atau elektrik (solar fountain pump), skru, mesin gerudi, pemotong kayu, pit pengukur, pensel, hos kecil (ukuran yang sama dengan pam air yang digunakan), kertas pasir, bekas plastik berlubang (mesh pot net cup) dan roda plastik.
Langkah-langkah yang perlu dilakukan
Langkah pertama pembuatan adalah mengukur bekas plastik berbentuk segi empat yang digunakan untuk membuat kotak luaran. Dalam projek ini, bekas plastik berukuran 2 x 1 kaki akan digunakan untuk menampung air yang akan diisikan ke dalamnya. Potong kepingan papan yang disediakan dengan ukuran 13 inci sebanyak dua keping dan 25 inci juga sebanyak dua keping.



Cantumkan papan-papan tersebut membentuk segi empat menggunakan skru pada bahagian sisi papan. Pastikan anda menebuk lubang terlebih dahulu di tempat skru dimasukkan bagi mengelakkan kayu terbelah ketika skru dimasukkan. Pasangkan sebanyak tiga skru pada setiap sudut cantuman untuk memastikan ia tidak mudah tertanggal ketika dikendalikan.
Manakala untuk bahagian bawah kotak luaran yang telah dicantumkan tadi, potongkan papan dengan ukuran 25 inci panjang sebanyak dua keping. Kemudian cantumkan pada bahagian bawah kotak yang telah direka tadi. Jika anda mempunyai ruang pada bahagian tengah untuk permukaan bawah kotak, ini bukanlah merupakan satu masalah kerana ruang berkenaan hanya digunakan untuk meletakkan bekas plastik yang digunakan selain menampung kotak tersebut daripada tekanan air.
Langkah seterusnya adalah menghaluskan bahagian kotak kayu yang dirasakan tajam atau kasar menggunakan kertas pasir berukuran 300 grit. Ini adalah bagi memastikan keselamatan ketika mengendalikannya selain memberikan hasil akhir yang baik. Sebagai pilihan, anda boleh meletakkan roda pada bahagian bawah kotak bagi memudahkannya dialih dari satu tempat ke satu tempat memandangkan ia agak berat ketika diisikan dengan air.
Setelah menghaluskan kesemua permukaan, isikan bekas plastik tadi dengan sedikit batu yang telah dipilih dan yang telah diletakkan ke dalam kotak kayu tersebut. Pastikan batu-batu yang digunakan telah dicuci dengan air bersih kerana batu-batu yang terjual oleh pengilang mungkin mengandungi bahan-bahan kimia yang boleh menjejaskan tumbuhan akuatik nanti selain membersihkannya daripada kotoran.




Langkah-langkah menghiasi kolam mini ini memerlukan kreativiti tersendiri. Anda perlu bijak menyusun tumbuhan-tumbuhan akuatik yang digunakan agar ia nampak cantik dan tersusun. Pastikan tumbuhan yang berdaun besar pada bahagian belakang dan yang kecil pada bahagian hadapan. Teknik ini adalah untuk memastikan tumbuhan yang lebih kecil tidak terlindung oleh tumbuhan yang lebih besar.
Sebagai pilihan, anda juga boleh menggunakan pasu semaian plastik atau pasu untuk tumbuhan hidroponik bagi meletakkan tumbuhan akuatik yang dipilih. Isikan batu berukuran kecil dan kapas sebagai medium untuk akar tumbuhan berpaut. Jika anda memilih untuk hanya menggunakan batu untuk meletakkan tumbuhan pada kolam mini tersebut, gunakan batu yang lebih kecil agar akar daripada tumbuhan yang digunakan mampu bergerak dan berpaut pada batu tersebut.
Setelah mengisikan kolam mini tersebut dengan tumbuhan, isikan ruang kolam tersebut dengan batu dan meninggalkan sedikit ruang untuk pam penyedut air diletakkan. Pam penyedut yang digunakan di sini dijana menggunakan tenaga solar. Jika anda tidak memilikinya, anda boleh sahaja menggunakan pam penyedut air yang dijana menggunakan tenaga elektrik.
Langkah terakhir adalah memasukan air pada kolam mini tersebut. Pastikan air yang diisikan menenggelami pam air yang digunakan agar ia tidak mudah rosak. Dengan meletakkan kolam mini tersebut di tempat yang sesuai, ia sudah setentunya mampu menarik perhatian tetamu yang bertandang ke rumah anda!

































