Kolam renang dibuka semula

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Berikutan pengumuman tahap ketiga pelan de-escalation bagi pembukaan semula kolam renang, bermula pada 6 Julai, kolam-kolam renang adalah dibenarkan untuk beroperasi semula dengan kapasiti 30 peratus dalam satu masa tertakluk kepada kapasiti ruang kolam renang tersebut dan hanya pengguna berumur 15 tahun ke atas sahaja dibenarkan.

Setiap kompleks kolam renang dibukakan hanya tiga hari dalam satu minggu bagi tempoh sejam sehari bagi setiap individu. Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al’Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Bagi kompleks kolam renang di bawah kawalan Kementerian, Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) ianya akan dibukakan pada hari Selasa, Jumaat dan Ahad sahaja manakala, hari-hari operasi bagi kolam-kolam renang lain adalah tertakluk kepada pemilik masing-masing. Pemilik kolam renang diingatkan untuk memastikan tahap klorin adalah mengikut piawaian kesihatan yang ditetapkan.

Untuk maklumat lanjut bolehlah merujuk kepada garis panduan yang telah disediakan oleh KKBS dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, ketika mengumumkan tahap ketiga pelan de-escalation pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19. – Gambar oleh Syahmi Hassan