Kolam renang jadi kawasan ternakan ikan

KOCHI, INDIA, 24 OGOS – Sebuah kawasan peranginan mewah di selatan India telah menjadikan kolam renangnya sebagai kawasan penternakan ikan untuk menyelamatkan perniagaan mereka yang semakin merudum di tengah-tengah krisis ekonomi disebabkan wabak COVID-19.

Kolam sebesar 150 meter di Aveda Resort di daerah Kerala yang biasanya dipenuhi dengan pelancong Eropah, kini dipenuhi beribu-ribu ikan ternakan.

Kompleks penginapan itu terpaksa ditutup pada bulan Mac lalu ketika kerajaan mengarahkan perintah berkurung di seluruh negara.

Beberapa hotel telah dibenarkan dibuka semula sejak itu. Di antara yang masih ditutup, tidak banyak yang memiliki kolam dengan 7.5 juta liter air, yang dapat digunakan sebagai alternatif.

“Kami memperoleh pendapatan sifar, maka pada bulan Jun, kami memasukkan sekitar 16,000 ikan ternakan berusia dua bulan ke dalam kolam,” kata pengurus besar Aveda, Jyotish Surendran kepada AFP.

Kolam renang kawasan peranginan yang telah dijadikan sangkar ikan di Aveda Resort di Kumarakom, Kerala, India. Kawasan peranginan itu terpaksa mencari jalan alternatif untuk mengatasi kemerosotan pelancong akibat COVID-19. – AFP

Ikan, yang memakan masa kira-kira lapan bulan untuk mencapai ukuran penuh, adalah ramuan yang popular dalam hidangan di selatan India dan Timur Tengah.

“Kami merancang untuk mengutip hasilnya pada bulan November dan akan mengeksportnya ke Timur Tengah,” kata Surendran, meramalkan sekitar empat tan ikan di kolam renang itu bernilai AS$40,000 di pasar.

Ladang ikan sementara itu tidak akan dapat menampung kerugian akibat wabak itu, yang menyebabkan banyak hotel muflis, kata pemilik hotel tersebut.

Tetapi Surendran berharap wang itu dapat membantu menampung bil sehingga perniagaan dapat terus berjalan apabila pelancong kembali.

Aveda merancang untuk tetap percaya pada ternakan ikan walaupun perniagaan disambung semula.

“Kami tidak dapat meneruskan pertanian ini di kolam renang, tetapi kami berusaha mencari tanah alternatif di mana kami dapat mengumpulkan pengetahuan untuk projek yang lebih besar,” katanya. – AFP