Kolej IGS pamer projek karya seni

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Rombongan pelajar dari beberapa sekolah menengah telah mengunjungi Hari Terbuka Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS), baru-baru ini, bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai program-program yang ditawarkan kolej berkenaan.

Antara pelajar yang hadir ialah 16 orang pelajar dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) dan 13 orang pelajar dari Sekolah Menengah Katok, yang terdiri daripada pelajar Tahun 10 dan disertai oleh guru penyelia masing-masing.

Selain memberi kesedaran kepada pelajar mengenai program yang mungkin menarik minat atau yang relevan untuk pendaftaran, lawatan itu juga berfungsi sebagai platform untuk Kolej IGS berkongsi kursus yang dikemas kini dan akan ditawarkan serta untuk melihat projek akhir pelajar.

Hari terbuka selama empat hari itu diharapkan dapat memberikan keterangan kepada orang awam, profesional dan majikan untuk membuat penilaian kolej dan programnya bagi tujuan merekrut pekerja oleh industri dan institusi dan program tertentu yang sesuai bagi melanjutkan pelajaran mereka.

Semasa lawatan tersebut, para pelajar juga berpeluang untuk melawat Vibe Identity Arts and Design Exhibition yang bertepatan dengan acara hari terbuka kolej yang mempamerkan projek seni dan reka bentuk para pelajar.

Dianjurkan oleh Fakulti Kesenian dan Kemanusiaan untuk kali ke-7, pameran berkenaan menyediakan saluran untuk cara pemasaran dan penjualan karya seni atau artifak yang berkesan dan mempromosikan industri kreatif sebagai alat penjanaan pendapatan bagi individu dan juga bagi negara.

Pameran itu juga sebagai aktiviti institusi untuk memperkuat kecenderungan positif pelajar mengambil subjek di peringkat pendidikan tinggi, dengan yang demikian dapat membesarkan kumpulan orang muda untuk menyokong pembangunan industri kreatif di negara ini.

Pada masa yang sama, maklum balas profesional diberikan kepada pelajar-pelajar bagi meningkatkan kualiti karya seni serta kreativiti dan keupayaan para pelajar untuk berinovasi.

Para pelajar mengambil bahagian dalam salah satu pameran projek sempena Hari Terbuka Kolej IGS. – Gambar oleh Lyna Mohamad