Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) telah diberi status IBTE Approved Centre tahun lepas dan diberi kelulusan untuk menjalankan lima program IBTE pada tahun yang sama.
Program-program itu ialah NTec dalam Pentadbiran Perniagaan, NTec dalam Teknologi Maklumat, HNTec dalam Perniagaan dan Kewangan, HNTec dalam Rangkaian Komputer dan HNTec dalam Teknologi Maklumat.
Manakala itu, pada Oktober yang akan datang, satu program baharu akan ditawarkan iaitu HNTec dalam Pembinaan dan Lukisan (Draughting) (Dual TVET).
Program baharu itu adalah di bawah skim TVET Kementerian Pendidikan dan penyampaiannya akan dilakukan dengan kerjasama dua syarikat iaitu Arash Design Construction dan Zimra Sdn Bhd dan Juruukur Perunding Services Sdn Bhd.
Perkara itu dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kolej IGS, Dr Haji Azaharaini bin Haji Mohd Jamil dalam ucapan alu-aluannya pada majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) bersama industri-industri bagi program baharu tersebut yang berlangsung di kolej berkenaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Menandatangani MoU bagi Juruukur Perunding ialah Pengarah, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan dengan disaksikan oleh Pengiran Hajah Hasnawati binti PSJ Pengiran Haji Abdul Momin manakala Arash Design diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pengiran Haji Radno bin Pengiran Haji Mohd Tahir dan disaksikan oleh Dayangku Hajah Kartewi binti Pengiran Haji Abdul Rahman.
Kolej IGS pula diwakili oleh Dr Haji Azaharaini dan disaksikan oleh Pengiran Haji Mohd Yamin bin PSJ Pengiran Haji Abdul Momin.
MoU itu meliputi bidang kerjasama seperti akses kepada sumber syarikat, kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan, kerjasama dalam pembinaan kapasiti, program sangkutan kerja terselia untuk pelajar dan pertukaran maklumat dan pengetahuan.
Kolej IGS amat berharap agar MoU itu dapat memudahkan kelancaran pelaksanaan program dan kerjasama sedemikian memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.