SANDAKAN, 16 Ogos – Seramai 130 pelajar dan pensyarah Kolej Komuniti Sandakan (KKS) hari ini menyemarakkan bulan kebangsaan dengan mengadakan kempen kibarkan Jalur Gemilang di sini.
Menerusi program anjuran bersama Pejabat Jabatan Penerangan Daerah Sandakan itu, pelajar dan pensyarah kolej berkenaan menyertai perarakan mengibarkan Jalur Gemilang sejauh dua kilometer dari kampus kolej di Bandar Labuk hingga ke Jalan Airport.
Timbalan Pengarah KKS Samsur Nongkang berkata program yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Libaran Sapilin Md Yassin itu bertujuan menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan pelajar dan kakitangan kolej itu.
Katanya sebagai institusi pengajian tinggi awam sudah menjadi tugas dan tanggungjawab mereka mencorakkan pelajar agar berjiwa patriotisme dan kental akar umbi nasionalisme.
Dalam pada itu, Pegawai Penerangan Bahagian Sandakan Zulhanin Hasni berkata selepas program di Parlimen Libaran ini, program seterusnya akan diadakan di Batu Sapi, Sandakan, Kinabatangan dan Beluran. – Bernama