Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Koleksi barang mainan dan patung figura aksi terapi diri

    Gambar Bernama

    KUALA LUMPUR – Tetamu yang masuk buat pertama kali ke dalam dua bilik di rumah milik Adam Shahruddin, 38, di Dengkil, Selangor pasti terpegun melihat ribuan koleksi barang mainan dan patung figura aksi disusun kemas menghiasi setiap genap ruang bilik tersebut.

    Dua bilik seluas 1,000 kaki persegi itu menempatkan barang mainan dan patung figura aksi yang pernah muncul di televisyen, filem dan komik yang menjadi kegilaan kanak-kanak dari seluruh dunia pada era 90an dan lewat 80an.

    Antara koleksi mainan dan patung figura aksi yang jarang dijumpai tersebut ialah topeng Darth Vader (filem Star Wars), papan luncur Hover Board (filem Back to the Future), Proton Pack (filem Ghostbusters), replika saiz sebenar Han Solo in Carbonite (filem Star Wars) dan topi besi yang dipakai oleh Magneto (filem X-Men).

    Menceritakan hobinya itu kepada Bernama, Adam berkata beliau mula minat untuk mengumpul koleksi mainan dan patung figura aksi tersebut ketika masih di alam persekolahan dengan barang mainan pada awalnya dihadiahkan oleh ahli keluarga.

    “Saya mula mengumpul barang mainan ini ketika di bangku sekolah rendah lagi dan ketika itu siaran di televisyen banyak siarkan animasi fantasi seperti Ninja Turtles, ThunderCats, Power Rangers, Transformers dan lain-lain.

    Ribuan koleksi barang mainan dan patung figura aksi milik Adam Shahruddin, 38, disusun kemas menghiasi setiap genap ruang bilik rumahnya yang terletak di Dengkil, Selangor. Barang mainan dan patung figura aksi tersebut dikumpulnya sejak dari bangku sekolah rendah lagi.
    Antara barang mainan dan patung figura aksi dimiliki Adam Shahruddin yang disimpannya di dalam bilik rumahnya di Dengkil, Selangor.
    Replika peranti Proton Pack yang digunakan untuk mengawal dan melemahkan hantu dalam filem fiksyen ‘Ghostbusters’ juga antara koleksi unik Adam Shahruddin.

    “Ia menjadi ikutan kanak-kanak ketika itu termasuk diri saya. Ada juga beberapa barang mainan diterima sebagai hadiah daripada ahli keluarga kerana cemerlang dalam peperiksaan dan ia masih disimpan sehingga kini.

    “…dan apabila saya mula bekerja pada 2007 sebagai duty manager di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sedikit demi sedikit saya belanjakan duit gaji untuk beli koleksi mainan dan figura aksi. Jujurnya, saya tidak pasti berapa jumlah sebenar koleksi yang ada, tetapi boleh dikatakan saya telah habiskan ribuan ringgit untuk me-miliki kesemuanya,” katanya.

    Ditanya mengenai kepuasan mengumpul barang mainan dan figura aksi, Adam yang juga anak sulung daripada empat adik-beradik berkata ia sebagai bentuk terapi kepada dirinya untuk mengimbau kembali memori indah ketika zaman kanak-kanak dahulu.

    “Ada orang kata membazir, lebih baik duit dihabiskan pada perkara sepatutnya, tetapi mengumpul barang mainan ini sama juga denga hobi lain seperti memancing, ia ada peminatnya tersendiri, jadi tidak salah.

    “Isteri dan keluarga saya juga menyokong kerana dengan hobi ini membuatkan saya lebih banyak masa bersama keluarga,” katanya yang mendapatkan koleksi mainan tersebut daripada penjual tempatan dan dari luar negara secara dalam talian.

    Bercerita lanjut, Adam yang kini menjual nasi lemak berkata setiap koleksi barang mainan dan patung figura aksi miliknya itu mempunyai nilai pasaran yang tinggi khususnya bagi pengumpul mainan bergantung kepada penjagaan dan juga edisi yang ada.

    Sebagai contoh kata Adam, komik Spiderman yang mempunyai tandatangan penulisnya, Stan Lee dibeli dengan harga RM2,000 tetapi kini nilainya mencecah RM5,000 hingga RM7,000.

    Begitu juga dengan topi besi Darth Vader ‘legend edition’ keluaran Sideshow, yang dibeli dengan harga RM1,500 pada 2011, namun kini bernilai belasan ribuan ringgit, katanya.

    Menurut Adam ketika ini beliau tidak berhasrat untuk menjual koleksi barang mainan dan figura aksinya itu sebaliknya ia akan disimpan sebagai pelaburan jangka masa panjang dan mungkin akan digunakan ketika kecemasan dan pendidikan anak-anaknya kelak. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...