BRISBANE – Beberapa daripada barangan paling jarang ditemui yang pernah ditawarkan kepada orang ramai telah dijumpai di Australia dalam kontena-kontena kapal dan bangsal penyimpanan yang mengandungi koleksi seumur hidup barangan ketenteraan yang mempunyai kepentingan sejarah dari seluruh dunia.
Lebih 10,000 barangan merentasi beberapa ekar kawasan kawasan telah mencetuskan keghairahan sepanjang hayat pengumpul ketenteraan.
“Kami benar-benar tidak percaya apabila kami tiba untuk memeriksa koleksi itu,” kata Lee Hames, Ketua Pegawai Operasi untuk Lloyds Auctioneers and Valuers di Australia.
“Ini adalah sebahagian daripada koleksi barangan ketenteraan yang mempunyai kepentingan sejarah yang paling jarang ditemui dari Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua yang pernah kami lihat, terdapat segala-galanya daripada kereta kebal tentera sehingga senjata api, pedang, pakaian seragam tentera, topi tentera, but dan artileri berat,” kata Hames.
“Ketika kami membongkar koleksi khas barangan ketenteraan itu, kami menjumpai beberapa keping yang sangat jarang yang kebanyakannya ‘sekali sahaja’ dan mungkin bernilai sejumlah wang yang besar,” kata Hames.
“Koleksi Rod Bellars” telah dibina oleh Rod lebih 60 tahun dahulu, mengumpul barangan dari seluruh dunia. Malangnya, pemergian beliau baru-baru ini bermakna ikon sejarah yang menakjubkan ini perlu mencari penjaga baharu.
“Kami benar-benar berharap muzium dan perpustakaan serta pengumpul yang bersemangat dari seluruh dunia berjaya dalam memperoleh sebahagian daripada cebisan sejarah penting ini, supaya ia dapat dipelihara dan dipamerkan serta mendidik orang ramai untuk tahun-tahun yang akan datang,” kata Hames.
Barangan koleksi yang ditampilkan itu telah dilelong dalam talian oleh pihak pelelong pada Januari lalu. – Bernama