Koleksi dicuri lebih AS$1 bilion

MOSCOW, 28 NOV – Lebih 10 koleksi berharga dianggarkan bernilai €1 bilion (AS$1.1 bilion), termasuk berlian Dresden White seberat 49-karat dicuri dari muzium terkenal Grunes Gewolbe (Green Vault) di Dresden Jerman, lapor agensi berita Sputnik.

Muzium itu diceroboh sekumpulan pencuri pada Isnin dan mencuri tiga set berlian berharga, yang media menyifatkan ia sebagai rompakan terbesar dalam sejarah.

Satu suruhanjaya khas kini sedang menjalankan siasatan dan suspek masih bebas.

“Perompak mencuri 11 barangan termasuk koleksi butang,” kata Muzium Green Vault menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman webnya pada Rabu.

Selain berlian Dresden White, dua lagi berlian seberat 39.5 karat dan 21 karat turut dicuri.

ATAS & BAWAH : Gambar yang tidak bertarikh ini menunjukkan antara barangan bernilai tinggi yang dicuri dari muzium terkenal Grunes Gewolbe (Green Vault) di Dresden Jerman yang lalu. – AP

Menyiarkan senarai barangan yang dicuri dalam rompakan nekad Isnin lalu, muzium Green Vault di istana diraja Dresden, berkata barang dicuri termasuk pedang yang pemegangnya dihiasi sembilan berlian besar dan 770 berlian kecil, dan pelapik bahu mengandungi berlian putih Dresden 49 karat yang terkenal.

Sebelas barangan dilarikan semuanya manakala beberapa bahagian tiga barangan lagi juga hilang.

Berlian 49 karat itu dipotong pada awal abad ke-18 dan dibawa masuk dengan kos tinggi oleh August the Strong, yang ketika itu ialah Elector of Saxony, pada 1728.

Dalam rakaman kamera keselamatan dramatik yang disiarkan polis Isnin lalu, seorang daripada suspek dilihat mempamerkan bekas berisi koleksi tiga barang kemas berlian.

Perompak memulakan serangan pada awal pagi Isnin lalu, memotong bekalan elektrik sebelum memecah masuk menerusi tingkap yang dilindungi gerigi besi.

Mereka kemudian menuju terus ke ruang pameran dalam apa yang polis katakan jenayah disasarkan dan terancang. — AFP/Bernama