Koleksi doa syifa’ diterbitkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Hasil kerjasama rapat antara Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Koleksi Doa Syifa’ telah berjaya diterbitkan, yang mengandungi doa daripada Al-Quran serta ajaran daripada Nabi Muhammad SAW bagi mendapatkan keberkatan dan perlindungan daripada penyakit.

Koleksi Doa Syifa’ berkenaan telah dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar di Petak Pameran BIBD semasa Acara Berjalan, Berlari dan Berbasikal sempena Hari Kanser Sedunia 2020 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Turut hadir semasa pelancaran berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong; Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Penerbitan koleksi doa itu merupakan sebahagian daripada usaha BIBD untuk menyokong visi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan Brunei sebuah Negara Zikir dan Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur.

Menteri-menteri kabinet menyaksikan video mengenai koleksi Doa Syifa’ yang dilancarkan di Petak Pameran BIBD semasa Acara Berjalan, Berlari dan Berbasikal sempena Hari Kanser Sedunia 2020 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.