Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Koleksi mushaf yang terdapat di Galeri Pameran Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) menjadikan tarikan utama bagi rombongan seramai 31 orang daripada Kumpulan Kembara Husna dan Kuliah Dhuba, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BKISHHB, di sini, rombongan dari Johor, Malaysia berkenaan telah diketuai oleh Shahrul Rizal bin Mohd Sati di mana kumpulan berkenaan berada di Brunei Darussalam selama tiga hari dan menjadikan BKISHHB sebagai salah satu tempat kunjungan mereka.
Salah seorang ahli rombongan iaitu NurHayati binti Harun berpendapat bahawa mushaf-mushaf yang dipamerkan semuanya sangat bagus dan bermaklumat serta orang ramai harus merebut peluang untuk melihat koleksi-koleksi mushaf di BKISHHB.
Beliau juga tertarik dengan Mushaf Brunei Darussalam yang dipamerkan iaitu mushaf berwarna hitam, biru dan hijau yang hanya terdapat di Negara Brunei Darussalam.
Penulisan Mushaf Brunei Darussalam bermula pada 8 Ramadan 1408H bersamaan dengan 25 April 1988M dengan kerjasama kerajaan Republik Arab Mesir dan telah selesai ditulis dan disemak pada 29 Rabiulakhir 1410H bersamaan dengan 28 November 1989M.
Manakala itu, bagi Mohd Ashraf bin Mat Hairi yang mempunyai pengalaman mempelajari dan mengkaji mushaf, beliau berpuas hati kerana mendapat ilmu baharu mengenai mushaf-mushaf yang bermacam jenis di samping penerangan yang sangat jelas dan banyak membantu.
Terdapat pelbagai jenis mushaf khususnya dipamerkan di Galeri Pameran BKISHHB berasal dari pelbagai negara, antaranya Arab Saudi, Indonesia, Malaysia, Rusia, Sepanyol, Pakistan, India dan lain-lain lagi.
Antara mushaf menarik yang terdapat di galeri berkenaan ialah mushaf salinan milik Ahmed Syamsuddin Karahisari, Quranic Stone, iaitu mushaf salinan secara pahatan yang ditulis di atas kepingan batu, Mushaf 1,000 tahun, koleksi Mushaf Miniatur yang ditulis tangan, Mushaf Alifi Quran, Mushaf Berjilid, Mushaf Tahajud, Al Huroof al-Muqattaah, Mushaf al-Wathiq Billah dan banyak lagi.
