Koleksi piano seumur hidup dilelong

BIDDENDEN, UNITED KINGDOM – Tidak banyak yang dapat dibezakan daripada bangunan ladang di Kent, tengggara England, dengan bangunan lain berhampiran, kecuali satu perkara: waran diraja yang terpampang di depan pintu.

“Pelantikan dengan watikah Baginda Ratu Elizabeth, pembaik pulih piano,” menurut notis berkenaan.

Di dalam bangunan di Biddenden, berhampiran Ashford, tersimpannya harta karun yang terdiri daripada 26 piano aneh dan unik, dikumpul oleh warga California, David Winston seumur hidup beliau.

Seluruh koleksi Winston kini sedang dijual pada pelelongan, dengan anggaran beberapa piano individu mungkin dijual sehingga AS$83,000 setiap satu.

“Umur saya hampir 71 tahun sekarang, sudah tiba masanya untuk saya menjualnya,” beritahu Winston, yang pada mulanya bekerja sebagai pembuat biola sebelum mengkhusus dalam piano, kepada AFP.

Sesetengah hasil kerjanya termasuk piano milik Ratu Elizabeth II sendiri tetapi beliau berselindung-selindung mengenai kerja yang dilakukan beliau ke atas papan nada Koleksi Diraja itu.

Ia disebabkan selain mengatakan beliau mengusahakan ‘beberapa alat muzik mereka,’ beliau juga sedar mengenai kisah seorang wanita yang pernah membocorkan rahsia tentang satu insiden menyedang baju dalam ahli keluarga diraja.

Beliau kehilangan pelantikannya tidak lama selepas itu.

Apa yang beliau cuba katakan adalah pelantikan lain termasuk pemulihan piano French Pleyel milik ‘wira pujaannya’ Frederic Chopin.

Beliau juga melakukan kerja-kerja pemuliharaan piano Broadwood milik Ludwig van Beethoven di Muzium Nasional Hungary.

David Winston bergambar dengan piano amat jarang ditemui Pleyel, dibuat di Paris bertarikh 1929, di bengkelnya di Biddenden. – AFP
Koleksi piano dipamerkan di bengkel pembaik pulih piano diraja David Winston di Biddenden, tenggara England.- AFP

“Apabila saya pertama berjalan masuk ke dalam bilik itu, dan piano terletak di sana dengan nama Beethoven, bulu roma di leher saya meremang,” katanya.

Winston menunjukkan koleksi pianonya yang bertarikh dari abad ke-18 hingga abad ke-20.
Pemain piano China, Xiaowen Shang, seorang pelajar di Akademi Diraja Muzik di London, memainkan sonata Schubert untuk menunjukkan piano yang dibina oleh Winston sendiri sebagai replika sebenar alat Vienna abad ke-19 itu.

Ciri-ciri yang paling menonjol adalah ia mempunyai lima pedal, sementara kebanyakan piano moden hanya mempunyai tiga pedal.

Pedal tambahan menghasilkan efek bunyi dram dan loceng atau bunyi gerit seakan-akan basun – paling sesuai untuk muzik ketenteraan yang popular pada masa itu.

“Berbanding dengan piano moden, ia merupakan bunyi yang lebih lembut dan mempunyai elemen yang amat sensitif,” kata Shang, menganggapnya sebagai muzik kegemarannya.
Beliau berkata beliau juga suka bermain French Pleyel Duaclave: piano dengan papan nada di hujung piano, membenarkan pemain piano duduk berhadapan dengan bunyi yang timbul di antaranya.

“Ia benar-benar unik, hanya terdapat kira-kira 50 piano seumpamanya,” kata Winston.
Alat muzik ini milik Madeleine Lioux, seorang pemain piano konsert Perancis terkenal, di mana suaminya merupakan wira Pihak Penentang, penulis novel dan menteri kebudayaan, Andre Malraux.

Koleksi itu bukan sahaja menumpu pada alat muzik zaman antik tetapi termasuk juga alat muzik yang dicipta untuk gaya hidup abad ke-20.

Winston mengeluarkan muzik lembaran ‘The Way We Were,’ muzik balada 1970 yang dirakam oleh Barbra Streisand, dan meminta Shang memainkannya di piano besar futuristik dengan bingkai aluminium berkilauan.

“Ia berasal dari tahun 60an. Ia benar-benar stabil dan bunyinya amat bagus,” kata beliau merujuk kepada piano yang dibuat oleh syarikat Belanda yang sudah tidak wujud sekarang, Rippen. “Beberapa piano berada di kapal malah terdapat sebuah diletak di kapal udara pada satu ketika.”

Turut menarik perhatian adalah piano warna coklat walnut ‘rama-rama’ dari Wurlitzer – sebuah syarikat yang terkenal dengan alat muzik organ dan peti muzik.

Penutup dibuka dari tengah dalam dua bahagian, justeru mewujudkan kesan stereo.
Sebuah piano yang dihiasi dengan motif dan hiasan merah dan emas dari 1925 memainkan nota muzik, teknologi yang amat popular satu ketika yang membenarkan piano memainkan muzik secara automatik.

Pembeli berpotensi mungkin ‘mengumpul koleksi alat muzik unik’ atau ‘hanya mencari sesuatu yang benar-benar unik dan jarang dijumpai yang hanya mengisi satu ruang dalam bilik,’ kata Winston.

Ada di antaranya mungkin menarik pelanggan rock ‘n’ roll, cadang Will Richards, naib pengerusi firma pelelongan Dreweatts, yang menganjur penjualan dalam talian bermula 1 September.

Selepas jualan, Winston merancang meluangkan lebih banyak masa di pangsapurinya di Venice, di mana beliau seorang anggota sebuah kelab mendayung, serta menumpu pada fotografi.

Pemuliharaan piano menjadi semakin sukar dari segi fizikal, menurutnya.

“Kini ia semakin membebankan ke atas tubuh badan saya: membongkok badan sepanjang masa dan mengangkat barang serta merangkak di bawah piano. Ada kalanya saya rasa seperti seorang mekanik kereta.” – AFP