Koleksi pokok ara terbanyak di Lahad Datu

SANDAKAN, 12 MEI – Pusat Germaplasma Ara Sabah di Rizab Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu berjaya membiakkan lebih 90 spesies pokok ara sejak 2011 bagi memastikan tumbuhan tersebut terus hidup untuk kelangsungan ekosistem hutan.

Pengurus Lapangan rizab itu Dr Zainal Zahari Zainuddin berkata antara spesies yang terdapat di pusat itu ialah Magnoliifolia atau ara hitam yang jarang ditemukan secara liar di seluruh Sabah selain Variegata yang didakwa pupus di Brunei.

“Jumlah koleksi pokok ara di pusat tersebut melebihi separuh daripada jumlah spesies di seluruh Sabah yang dianggar mempunyai sekurang-kurangnya 150 spesies,” katanya kepada Bernama.

Menurut Zainal, kejayaan pusat tersebut membiakkan lebih 90 spesies pokok ara membolehkannya bakal menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pengumpul koleksi spesies pokok ara terbanyak di Malaysia.

Katanya, penyerahan sijil tersebut sepatutnya dibuat tahun lepas tetapi ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menariknya, Zainal berkata kesemua koleksi pokok tersebut adalah jenis boleh dimakan dan pada asalnya ia merupakan makanan badak sumbu Sumatera dalam kurungan yang menggemari buah serta daun pokok ara.

“Apabila badak sumbu pupus pada 2019, kami berasakan perlu terus membiakkan tumbuhan ini bagi memelihara hutan sekali gus menjadi antara sumber makanan hidupan liar lain,” katanya sambil menambah usaha itu juga penting bagi mendidik masyarakat mengenai kepentingan tumbuhan pokok ara kepada hutan dan hidupan liar.

Berkongsi lebih lanjut, Zainal berkata pihaknya akan mendapatkan bibit pokok ara dari hutan dan menanamnya di dalam polibeg sehingga mencapai tahap pembesaran tertentu sebelum ditanam semula di dalam hutan. – Bernama

Terdapat lebih 100,000 hektar hutan simpan di Sabah dikategori sebagai hutan terosot yang masih boleh dipulihkan dengan penanaman semula pokok bagi mengembalikan semula fungsinya sebagai platform ekosistem alam semula jadi negeri itu. – Bernama