Koleksi warna-warni Moschino

NEW YORK – Cuaca mendung di Manhattan, tetapi Moschino mempunyai penawar: pentas peragaan fesyen dipenuhi dengan warna-warna terang dan ceria di pusat bandar Bryant Park.

Jeremy Scott, pereka kreatif di sebalik label mewah Itali, mengisi koleksi Minggu Fesyen New York dengan warna cerah biru muda, merah muda pastel dan hijau serta ungu, tidak ketinggalan kuning terang – sesuai untuk pertunjukan yang menerima inspirasi daripada barang mainan dan kartun haiwan kanak-kanak.

Model yang turut menampilkan peragaan jenama tersebut ialah supermodel Gigi Hadid, sendiri seorang ibu baharu, berjalan di sepanjang pentas bersama botol susu anak damit saiz besar ketika dia mengakhiri pertunjukan pada Khamis dalam gaun satu lengan yang memaparkan belalai gajah warna merah muda yang menjulur turun dari bahunya.

Acara menarik perhatian para peminat fesyen Moschino pada Minggu Fesyen New York kerana label tersebut biasanya mengadakan pertunjukan di Milan, walaupun Scott telah lama mempromosi label namanya sendiri di New York. Ciptaan beliau untuk jenama Moschino merupakan busana yang paling hangat diperkatakan pada majlis Met Gala, yang pada tahun ini diadakan pada akhir Minggu Fesyen – umpamanya Katy Perry berpakaian sebagai burger keju.

Hadid, peminat dan kolaborator lama Scott, membuka pertunjukan dengan sut tiga lapis warna biru muda – skirt mini, blaus dan jaket – dihiasi dengan motif gajah merah muda dan haiwan lain yang ganjil, dilengkapi dengan rantai di lehernya dengan huruf yang mengeja ‘MOSCHINO.’

Puluhan pakaian yang digayakan menumpu pada konsep yang sama – wanita dalam blaus dan sut bertemakan anak damit, dihiasi dengan anting-anting pin baju atau cincin dalam bentuk gigi yang baru tumbuh, dipadan bersama tas tangan dan sarung tangan yang ganjil. Turut diperagakan adalah kaca mata dengan kanta berbentuk hati dan tali pinggang longgar yang kelihatan seperti gelang tangan gergasi budak perempuan.

Gaun warna kuning neon mempunyai hiasan berangkai yang digantung dengan beruang teddy biru dan bunga daisi kuning. Model-model juga menampilkan baju dengan kain berpetak-petak, semuanya dalam warna lembut yang sesuai dalam bilik tidur kanak-kanak. Corak termasuk zirafah dan anak anjing dan anak kucing serta anak kambing biri-biri. Terdapat skirt yang terpampang itik yang besar, selain kangaru.

Pertunjukan itu juga menampilkan gaun labuh – satu yang memaparkan arnab gergasi dengan telinga besar yang menjulur keluar dari anak baju. Mungkin fesyen yang paling menawan adalah belalai gajah panjang yang digayakan oleh Hadid, dan aksesori botol susu, yang kelihatan digigitnya ketika dia berjalan di pentas.

“Warna-warna kelihatan sungguh cantik,” kata tetamu selebriti Megan Fox, yang duduk di barisan depan, begitu juga Taraji P. Henson.

Daripada kesemua aksesori, mungkin yang paling menonjol adalah baldi pantai seorang kanak-kanak yang dijadikan sebagai tas tangan – dan mengembalikan kenangan pada musim panas, yang nampaknya dingin di tengah cuaca basah di Bryant Park. – AP