Kolonel dituduh mengintip untuk Rusia

VIENNA, 9 Nov – Austria telah menjalankan siasatan terhadap seorang kolonel yang disyaki mengintip untuk Rusia selama beberapa dekad, menurut Canselor Sebastian Kurz hari ini, dalam kes terbaharu di mana Moscow dituduh melakukan pengintipan di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Kurz memberitahu semasa sidang akhbar bahawa anggota tentera berusia 70 tahun, kini sudah bersara, disyaki bekerjasama dengan perisikan Rusia pada 1990an dan berterusan sehingga 2018.

Pejabat pendakwa awam di wilayah Salzburg mengesahkan seorang kolonel telah disiasat atas tindakan jenayah iaitu mendedahkan rahsia negara.

Menteri Luar, Karin Kneissl memanggil diplomat Rusia berhubung perkara itu dan membatalkan kunjungan ke Rusia.

Sementara itu, kementerian luar Rusia berkata ia telah memanggil duta Austria untuk membincangkan mengenai isu tersebut.

“Sudah tentu jika kes ini telah disahkan, sama ada di Belanda atau Austria, ia tidak dapat meningkatkan hubungan antara EU dan Rusia,” beritahu Kurz kepada para wartawan di Vienna.

Beliau merujuk kepada pengusiran empat ejen Rusia oleh Belanda pada April atas tuduhan merancang serangan siber ke atas pemerhati senjata kimia dunia di The Hague.

“Pengintipan Rusia di Eropah adalah tidak dapat diterima dan dikecam,” tambah beliau.

Menurutnya, Austria menuntut maklumat yang telus daripada pihak Rusia dan ia akan berunding dengan rakan-rakan Eropah yang lain bagi tindakan lanjut. – AFP