KUALA LUMPUR, 1 April – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan melakukan bedah siasat untuk mengkaji kelemahan yang wujud pada edisi pertama Kejohanan Olahraga Grand Prix Terbuka Malaysia selama dua hari yang berakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim mendakwa kekurangan penyertaan atlet terbaik luar negara adalah kerana mereka menyertai kejohanan lain yang lebih baik sebagai persediaan menghadapi edisi ke-23 Kejohanan Olahraga Asia di Doha, Qatar dari 21-24 April ini.
“Kita akan buat bedah siasat dan kaji balik kekurangan itu bagi menarik lebih ramai penyertaan atlet terbaik terutamanya dari benua Asia.
“Kita akan cuba pastikan untuk menarik lebih ramai atlet terbaik dari luar negara pada tahun depan yang merupakan tahun Sukan Olimpik dengan memberikan insentif hadiah yang lebih menarik, contohnya wang tunai, tetapi mereka mesti pecahkan rekod kejohanan All Comers,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya kejohanan berkenaan, semalam.
Pada masa yang sama, Karim memaklumkan kejohanan berkenaan akan dijadikan sebagai acara tahunan dalam kalendar KOM bermula tahun depan dan berharap badan induk itu dapat menarik penyertaan lebih banyak atlet pada edisi seterusnya. Beliau menjelaskan atlet negara yang meraih pingat emas dan perak pada kali ini, layak secara automatik untuk menyertai edisi kedua kejohanan berkenaan pada tahun depan. – Bernama





























