KOM sedia lunas bayaran insentif

KUALA LUMPUR, 30 JUN – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi jaminan untuk menjelaskan bayaran insentif rekod baharu kepada beberapa atlet kebangsaan yang masih belum diselesaikan oleh kepimpinan terdahulu badan sukan itu.

Presiden KOM, Datuk S.M Muthu berkata, badan induk sukan itu sedang mengumpul segala dokumen berhubung catatan rekod baharu kebangsaan yang dilakar oleh atlet kebangsaan sebelum bayaran dapat dijelaskan dalam tempoh terdekat.

“Kami akan bayar dan atlet yang terlibat jangan risau, cuma saya minta mereka kemukakan dokumen secara hitam putih.Mungkin dalam tempoh dua bulan kami akan selesaikan bayaran kepada atlet terlibat,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini, beberapa atlet olahraga kebangsaan termasuk pemegang rekod kebangsaan acara lompat jauh, Andre Anura Anuar dan jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin mendakwa KOM masih belum melunaskan bayaran insentif hasil kejayaan mereka memecahkan rekod kebangsaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa. – Bernama