Wednesday, October 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komander armada AS dilucutkan jawatan

    WASHINGTON, 23 Ogos – Komander Armada Ketujuh Tentera Laut AS akan dilucutkan dari jawatan selepas perlanggaran di antara sebuah kapal pemusnah dan kapal tangki di luar Singapura, yang terbaru dalam beberapa siri kemalangan, kata pegawai pertahanan semalam.

    Keputusan untuk memecat Penolong Laksamana Joseph Aucoin daripada jawatannya di Jepun keluar tatkala Tentera Laut menjalankan siasatan global selepas kejadian pada Isnin yang membabitkan USS John S. McCain, yang mengakibatkan 10 kelasi hilang dan lima cedera.

    Armada Ketujuh, yang terdiri daripada kapal, kapal selam dan pesawat udara, menjadi tumpuan kehadiran tentera AS di Asia, menjalankan misi sensitif seperti operasi di Laut China Selatan dan sekitar semenanjung Korea.

    Laksamana Aucoin telah menjadi komander armada sejak September 2015 dan telah menyertai tentera laut sejak 1980.

    Kemalangan pada Isnin adalah perlanggaran kedua dalam dua bulan, selepas USS Fitzgerald berlanggar dengan sebuah kapal kargo di luar Jepun pada Jun, meninggalkan tujuh kelasi terbunuh dan kemalangan keempat di Pasifik pada tahun ini yang membabitkan sebuah kapal perang Amerika.

    Joseph Aucoin yang dilucutkan dari jawatan. – AFP

    Kejadian tersebut telah mencetuskan kebimbangan bahawa Tentera Laut AS mungkin tertekan di Asia Timur tatkala ia mengatasi sikap pendesak China yang semakin meningkat dan cita-cita nuklear Korea Utara.

    Kemalangan terbaru berlaku sebelum subuh di laluan perkapalan sibuk sekitar Selat Singapura, meninggalkan lubang yang besar di badan kapal perang dan membanjirinya dengan air.

    Satu usaha mencari yang membabitkan kapal terbang dan pesawat udara dilancarkan dan penyelam Tentera Laut AS menyertai usaha mencari semalam, menggeledah bahagian kapal yang dibanjiri.

    Penyelam telah menemui mayat beberapa kelasi, kata Laksamana Scott Swift, komander Armada Pasifik AS, semalam tanpa memberikan butir lanjut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda