Pelakon Johan As’ari tidak pasti sama ada komen terhadap isu Datuk Adi Putra dan pihak penerbit filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan menjadi punca namanya digugurkan daripada senarai rombongan promosi karya itu di Jakarta, Indonesia pada 26 Ogos ini.
Kata Johan, ketika meninggalkan komen berkenaan dia tidak pernah memberitahu enggan menyertai promosi ke Republik Indonesia sebaliknya hanya menyatakan rasa berat hati sekiranya Adi tidak mahu ikut serta.
“Saya cakap berat hati, alangkah bagusnya kalau Abang Kilau ada waktu itu. Tiada pula saya kata tidak mahu pergi.
“Saya sentiasa menyokong keputusan dibuat Adi kerana saya sudah anggapnya sebagai abang yang banyak mengajar dan mendidik saya dalam bidang lakonan,” katanya kepada wartawan.
Johan ditemui pada tayangan perdana filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa baru-baru ini.
Sebelum ini, tindakan Johan yang meninggalkan komen menerusi hantaran dibuat Adi tentang kemarahannya terhadap pihak pengurusan yang didakwa gagal dihubungi seolah-olah mendapat sokongannya.
“Kalau Abang Kilau tidak hadir ke malam gala filem Mat Kilau di Jakarta, Yasin (nama watak Johan) berat hati untuk ke majlis tersebut,” tulisnya. – Agensi