Thursday, January 23, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komik Malaysia dalam Bahasa Sepanyol

    KUALA LUMPUR, 28 Jun – Selepas hampir 40 tahun diterbitkan, ‘Kampung Boy’ terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol, bahasa ke-15 untuk komik ikon Malaysia itu.

    Bercakap pada majlis pelancarannya, duta besar Malaysia ke Sepanyol, Zainal Abidin Bakar berkata, edisi tersebut akan mempromosikan kepelbagaian budaya Malaysia di Sepanyol dan dalam kalangan komuniti yang berbahasa Sepanyol di seluruh dunia.

    “Buku itu membuka ruang kepada rakyat Sepanyol untuk memahami lebih lanjut mengenai sejarah dan budaya Malaysia,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Ditulis oleh kartunis terkemuka Malaysia, Datuk Mohammad Nor Khalid (lebih dikenali sebagai Lat), ‘Kampung Boy’, adalah autobiografi pengalamannya sebagai anak muda yang dibesarkan di sebuah kampung di Perak pada tahun 1950-an.

    ‘’Kira-kira separuh daripada 1,000 buku yang diterjemah dalam bahasa Sepanyol telah dijual,’’ kata Zainal pada satu majlis di kedutaan di Madrid baru-baru ini.

    Duta Besar Malaysia ke Sepanyol Zainal Abidin Bakar berucap sempena pelancaran buku ‘Kampung Boy’ Edisi Bahasa Sepanyol di Kedutaan Besar Malaysia, Madrid baru-baru ini. – AFP

    Mula diterbitkan pada tahun 1979, ia berjaya menawan hati pembaca menerusi gambaran suasana kehidupan desa di Malaysia, yang diterjemahkan menerusi ‘sketsa hitam dan putih’ dengan pengunaan bahasa yang mudah difahami.

    Terjemahan ke bahasa Sepanyol dilakukan editor bersama Enrique Larrea serta Ricardo Esteban dan diterbitkan oleh Amok Ediciones.

    “Lat antara personaliti budaya yang diminati tidak kira golongan muda mahupun tua di Malaysia. Populariti serta penerimaan luar biasa rakyat Malaysia jelas digambarkan menerusi fakta, bahawa semua kaum dapat menerima mesej serta nilai positif yang diselitkan dan dicampur aduk dengan jenaka. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda