Komited capai sasaran 13 peratus perlindungan marin

KOTA KINABALU, 14 Mac – Taman-taman Sabah (TTS) sedang mengenal pasti kawasan  baharu yang berpotensi untuk dijadikan sebagai Taman Perlindungan Marin dalam usaha untuk mencapai  sebanyak 13 peratus kawasan perlindungan  marin menjelang 2023.

Pengarah Taman-taman Sabah Dr Jamili Nais bagaimanapun berkata berdasarkan pengalaman sebelum ini usaha untuk mewartakan sesebuah kawasan itu sebagai taman perlindungan marin akan mengambil tempoh masa yang panjang.

“Misalnya Taman Marin Tun Sakaran mengambil masa selama 17 tahun sebelum diwartakan pada  tahun  2004 dan Taman Tun Mustapha pada 2016 iaitu mengambil masa 11 tahun proses untuk diwartakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Bengkel Pelan Strategik Taman-taman Sabah dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah yang dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-taman Sabah Mohd Amin Abd Mem.

Jamili berkata kawasan baharu yang telah dikenal pasti masih dalam  peringkat  cadangan dan proses konsultasi awam serta dokumentasi sedang dilaksanakan yang dijangka akan siap menjelang 2023.

“Pada masa ini TTS hanya mencapai kira-kira 7.4 peratus kawasan yang telah diwartakan sebagai taman perlindungan marin dan jika Kompleks Pulau Mantanani di Kota Belud serta Teluk Darvel di Lahad Datu diwartakan akan menjadi 11 peratus kesemuanya,” katanya.

Terdahulu TTS menandatangani MoU yang diwakili Mohd Amin dan UiTM diwakili oleh Rektor UiTM Prof Madya Datuk Dr Abdul Kadir Rosline. – Bernama