KOTA KINABALU, 23 Okt – Kerajaan komited mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah menjelang akhir 2021, setelah projek dirancang bagi memperkukuh sekali gus meningkatkan keupayaan penghantaran serta penyaluran bekalan elektrik di negeri itu disiapkan.
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata ini termasuk menetapkan sasaran untuk menurunkan kadar indeks jangka masa gangguan purata bekalan (SAIDI) di Sabah kepada 100 minit/pengguna/tahun berbanding 50 minit di Semenanjung menjelang akhir 2021.
“Penghantaran serta pengagihan bekalan elektrik merupakan masalah besar pada talian elektrik di Sabah dan ini menjadi perkara paling utama untuk diselesaikan. “Margin rizab elektrik di Sabah 32 peratus, sama seperti di Semenanjung tetapi gangguan bekalan elektrik di Sabah empat kali ganda berbanding di Semenanjung dan masalah ini adalah (disebabkan) talian elektrik yang tidak begitu kukuh.
“Apabila pelan projek (memperkukuh dan meningkatkan keupayaan penghantaran serta pengagihan bekalan elektrik) disiapkan, kita akan melihat penambahbaikan talian elektrik di Sabah, dan gangguan bekalan elektrik dapat dikurangkan dua kali ganda berbanding empat kali ganda sebelumnya,” kata beliau pada sidang media di sini, hari ini. – Bernama