Komited majukan sukan bola sepak

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Kejohanan Bola Sepak Veteran Kebangsaan DST 2016 telah berjaya diungkayahkan dan mendapatkan sambutan yang memberangsangkan daripada para pasukan yang menyertai.

Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung VFA, Jabar Ithnin ketika dihubungi sejurus selepas mesyuarat Agung Persatuan Bola Sepak Veteran Brunei Darussalam di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas, baru-baru ini.

Menurutnya daripada 34 buah pasukan pada tahun 2015, bilangan tersebut bertambah kepada 39 buah pasukan pada 2016 dan kerjasama seperti ini adalah sangat dibanggakan dan antara yang dihasratkan oleh badan induk bola sepak negara NFABD.

Selain daripada itu, menurutnya beliau sangat bangga dengan sokongan padu Jabatan Belia dan Sukan bagi pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan juga usaha pihak media cetak dan media elektronik serta penaja DST Group buat kali ke-7 berturut-turut bagi memastikan kejohanan berjalan lancar pada musim lalu.

“XN FT dan Al Idrus sekali lagi muncul sebagai dua pasukan yang mendominasi kancah bola sepak veteran di negara ini dan XN FT unggul menjuarai Piala Presiden dan Piala FA menewaskan Al Idrus dalam perlawanan akhir,” ujarnya lagi mengulas mengenai kejohanan tahun lalu.

( Gambar fail) Jabar Ithnin.
( Gambar fail) Jabar Ithnin.

“Mewakili VFA, kami berharap akan muncul pasukan-pasukan lain yang dapat memberi cabaran kepada kedua-dua pasukan tersebut pada kejohanan tahun ini,” ujarnya.

Tambahnya, masalah yang timbul adalah cabaran besar yang perlu dihadapi seperti masalah pengadil tidak mencukupi namun ia bukan alasan untuk acara ini tidak berjaya dan VFA secara proaktif dengan menganjurkan Kursus Asas Pengadil Bola sepak dan pengadil-pengadil bagi peringkat veteran bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.

Apabila ditanya mengenai tahun 2017, menurutnya sambutan terus hangat dengan 44 buah pasukan dijangka akan ikut serta dan apa yang menarik ialah kemunculan salah sebuah pasukan terbaik dalam Liga B iaitu AH United (Veteran).

“Kali ini VFA memperkenalkan format baru yang diharap lebih menarik dan mendebarkan. Piala Presiden dibahagi kepada dua bahagian iaitu Presiden 1 (20 pasukan) dan Presiden 2 (24 pasukan) serta Piala VFA (sebelum ini dikenali sebagai Piala FA – format knock-out system),” ujarnya.

Mewakili VFA, beliau menyatakan komitmen persatuan untuk berusaha sebaik mungkin dan cuba untuk memberi kepuasan kepada pasukan-pasukan dan para peminat bola sepak.

Dengan pengekalan sidang Tadbir Sesi 2016-2018, beliau berharap semua pihak akan terus memberi komitmen dan aktif bagi memajukan VFA dan berhadapan dengan cabaran-cabaran pada masa hadapan.