Komited pacu agenda kesihatan sejagat

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Negara Brunei Darussalam komited dalam memacu agenda liputan kesihatan sejagat (UHC) serta pemberian perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat.

Perkara ini ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa berucap pada sesi plenari, Persidangan Islam Menteri-menteri Kesihatan (ICHM) ke-7 yang bersidang selama dua hari hingga kelmarin di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

Terdahulu itu, beliau menyambut baik tema persidangan yang memfokuskan kepada ‘Kehidupan yang Berkualiti’, yang mana ini juga ada dihuraikan di dalam pelan pembangunan kebangsaan iaitu Wawasan Brunei 2035, demi mendukung komitmen kebangsaan terhadap Kesihatan untuk Semua’.

Yang Berhormat Dato juga telah menyentuh mengenai petunjuk kualiti kehidupan yang menurutnya seharusnya bukan sahaja dilihat daripada kekurangan, tetapi sebaliknya mengambil kira kesejahteraan hidup termasuk keupayaan penglibatan dalam masyarakat.

Dalam pada itu, penyediaan persekitaran yang kondusif dan menggalakkan penglibatan sosial sepenuhnya yang mana pemberian UHC adalah salah satu tunggak dalam mencapai kualiti kehidupan yang tinggi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menghadiri persidangan berkenaan. – Gambar Kementerian Kesihatan

Walau bagaimanapun, tambah beliau, terdapat cabaran-cabaran dalam mencapai liputan kesihatan sejagat termasuk dari aspek infrastruktur, perbelanjaan persendirian untuk rawatan, kekurangan tenaga manusia dan kualiti ubat-ubatan.

Sehubungan dengan ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya telah mengongsikan bahawa Kementerian Kesihatan dalam usahanya untuk meneruskan dan mempertingkatkan pencapaian ke arah UHC dan pemberian perkhidmatan kesihatan yang komprehensif dan berkualiti tinggi, telah pun mengadakan penilaian komprehensif terhadap strategi kesihatan kebangsaan yang mana hasil daripadanya ialah satu Pelan Strategik Kesihatan lima tahun yang telah dilancarkan baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, ICHM kali ini telah dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan dan Pencegahan, Emiriah Arab Bersatu, Tuan Yang Terutama Abdul Rahman bin Mohammed Al Owais. Negara Brunei Darussalam telah diberikan penghormatan dengan dilantik sebagai timbalan pengerusi pada persidangan tersebut. Antara yang turut hadir pada persidangan tersebut ialah menteri kesihatan Malaysia dan Republik Indonesia.

Pada persidangan itu, negara-negara anggota telah sepakat untuk meluluskan lima resolusi mengenai Program Tindakan Strategik Kesihatan OIC 2014-2023 dan Pengukuhan Kerjasama Kesihatan; cara hidup sihat, pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit dan kecemasan kesihatan dan bencana; kesihatan ibu-ibu dan anak-anak dan pemakanan; mandiri dalam bekalan dan perkilangan ubatan, vaksin dan teknologi perubatan; serta pengukuhan imunisasi dan menangani kebimbangan vaksin.

Semasa di Abu Dhabi, Yang Berhormat Menteri Kesihatan, juga telah berkesempatan untuk mengadakan perbincangan dua hala bersama Menteri Kesihatan Republik Indonesia, TYT Dr Terawan Agus Putranto dan Menteri Kesihatan Republik Maldives, TYT Abdulla Ameen, khususnya bagi membincangkan serta bertukar pandangan mengenai perkembangan sektor kesihatan di negara masing-masing serta meninjau bagi pelaksanaan kerjasama dalam bidang kesihatan antara kedua buah negara.

Turut hadir dalam perbincangan dua hala tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Emiriah Arab Bersatu, TYT Haji Harun bin Haji Junid.