Komited patuhi syarat-syarat beroperasi

Oleh Sim Y. H. dan Daniel Lim
Gambar serahan The Mall Cineplex & Times Cineplex

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Setelah ditutup selama kira-kira tiga bulan berikutan penularan wabak COVID-19, semua pawagam dibenarkan untuk menjalankan operasi perniagaan bermula esok dengan had kapasiti sebanyak 30 peratus di mana pembukaan semula pawagam berkenaan hendaklah mematuhi syarat-syarat yang berkenaan.

Pawagam-pawagam memberikan respons yang amat baik terhadap pengumuman tersebut dan para pemilik pawagam menyatakan komitmen untuk mematuhi syarat yang diberikan serta memastikan kebersihan pawagam mereka bagi keselamatan para pengunjung.

Pengurus Mall Cineplex, Awang Mohd Faiq Ikhwan bin Mohd Som ketika ditemu bual Media Permata, menyatakan bahawa mereka amat gembira menerima berita baik dalam pengumuman yang dibuat baru-baru ini, yang membenarkan pawagam untuk mula beroperasi.

Beliau menerangkan bahawa sejurus pengumuman itu dibuat, mereka mula menerima pesanan daripada orang ramai melalui platform media sosial mengenai berita berkenaan dan beliau menyatakan penghargaan atas sokongan seluruh rakyat dan penduduk negara kepada mereka.

Awang Mohd Faiq Ikhwan menjelaskan lanjut bahawa pihaknya terus melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan dan akan terus menghendaki semua kakitangan mereka untuk melakukan pemeriksaan suhu badan dan memastikan untuk memakai penutup mulut dan hidung serta memastikan mereka terus mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

Kakitangan pawagam bertugas untuk membersihkan tempat-tempat duduk di pawagam dan untuk menandakan kerusi bagi memastikan penjarakan sekurang-kurangnya dua tempat duduk.
Kakitangan menyahkuman pawagam Times Cineplex KBSentral sebagai persediaan sebelum pembukaan, hari ini.

Manakala itu, bagi para pelanggan atau pengunjung pula, beliau menyatakan bahawa semua pelanggan akan diperiksa suhu badan, dipastikan untuk mengimbas kod QR menggunakan aplikasi BruHealth serta akan disediakan dengan cecair pembasmi kuman tangan (hand sanitizers).

Selain daripada itu, beliau juga menerangkan bahawa mereka sudah mempunyai perkhidmatan sistem tiket QR tanpa sentuh dan penjarakan tempat duduk bagi memastikan penjarakan selamat.

Pada masa yang sama, beliau menyeru para pelanggan untuk sentiasa mematuhi serta menghormati arahan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Beliau juga menyeru para pelanggan untuk terus berwaspada dan tidak mudah leka serta terus mengamalkan kebersihan diri dan terus patuh pada arahan supaya mereka akan dapat terus menikmati pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial.

Menyentuh mengenai jadual tayangan filem, beliau menyatakan bahawa barisan filem baharu akan diumumkan menerusi aplikasi mudah alih mereka dan pada masa ini, sebagai permulaan apabila pawagam dibuka, barisan filem-filem yang ditayangkan merupakan filem-filem yang telah dihentikan siaran pada Mac lalu.

Manakala itu, seorang penggemar filem dan pengunjung pawagam, Albert Chang menyambut baik pengumuman mengenai pembukaan semula pawagam dan amat gembira mendapat tahu mengenai langkah-langkah kebersihan serta keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan pawagam bagi memastikan keselamatan para pengunjung.

Katanya, beliau masih mengambil sikap berhati-hati dalam berkunjung ke pawagam dan akan menonton filem di pawagam pada waktu di mana jumlah penonton tidak banyak dan akan memakai penutup mulut dan hidung sepanjang berada di dalam pawagam itu nanti.

Dalam pada itu, pawagam Times Cineplex di Kompleks Membeli-belah KBSentral turut sama melakukan persediaan demi persediaan bagi pembukaannya.

Antara persediaan yang diambil termasuklah menampal kod premis QR, menyediakan pensanitasi tangan dan kerja-kerja pembersihan.

Ia juga meletakkan tanda-tanda jarak sosial dengan pelanggan dikehendaki duduk berselang dua kerusi daripada satu sama lain. Menurutnya lagi, kakitangan pawagam juga akan melakukan disenfaktan antara tayangan bagi memastikan kebersihannya terpelihara.