Saturday, October 5, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited penuhi sasaran Bruneianisation

    Oleh Hakim Hayat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Sebagai sebahagian pengimplementasian persetujuan bersama kerajaan Brunei, loji penapisan dan petrokimia Hengyi Industries Sdn Bhd berjaya mengambil kira-kira 40 peratus warga tempatan sebagai tenaga kerjanya untuk memenuhi sasaran Bruneianisation yang ditetapkan oleh Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian (MEMI) dan bi-langan itu dijangka akan meningkat 50 peratus setelah loji itu sepenuhnya beroperasi.

    Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein, semasa lawatan kerja ke pangkalan Hengyi di Pulau Muara Besar yang dikendalikan oleh Darussalam Enterprise (DARe) bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), berkata ia adalah sebahagian daripada komitmen Hengyi untuk merekrut lebih 400 warga tempatan dalam operasi syarikatnya dan menyasarkan 400 warga tempatan lagi, yang mana syarikat itu kini menggaji kira-kira 1,600 dalam bahagian operasinya, termasuk pekerja ekspatriat.

    Semasa taklimat di Hengyi, ahli-ahli MMN turut dimaklumkan bahawa syarikat itu telah memperuntukkan sasaran baharu Bruneianisation sebanyak 50 peratus pada hujung tahun ini dan akan meningkatkannya kepada 66 peratus menjelang 2023, menurut pegawai dari Unit Tenaga Kerja, MEMI.

    Turut dikongsikan, fasa pertama operasi Hengyi akan menyaksikan sejumlah 1,900 peluang pekerjaan, manakala fasa kedua akan menyaksikan 2,300 peluang kerja berlainan kategori termasuk bahagian pengurusan dan profesional, juruteknik dan profesional bersekutu dan kerja separa kemahiran dan tidak berkemahiran.

    Lawatan ahli-ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim itu adalah sebahagian lawatan kerja ke beberapa tapak industri di negara ini termasuk tapak industri Sungai Bera, Taman Industri Sungai Liang (SPARK), Taman Industri Pulau Muara Besar dan Taman Industri Salambigar, hari ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bersama ahli-ahli MMN ketika membuat lawatan kerja ke Hengyi.
    Yang Berhormat Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian bersama ahli-ahli MMN ketika membuat lawatan kerja ke Joffren Omar.

    Menurut kenyataan MEMI, lawatan kerja turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di MEMI, para pegawai dan kakitangan MEMI serta DARe.

    Lawatan tersebut juga adalah sebahagian daripada usaha kementerian berkenaan untuk memperkenalkan kepada ahli-ahli MMN berkaitan projek-projek pembangunan industri yang pada masa ini diambil oleh syarikat-syarikat yang bertapak di bawah tapak-tapak industri yang ditadbir oleh DARe, menjelaskan kepentingannya dalam pembangunan sosioekonomi negara.

    Hengyi yang membina loji penapisan dan petrokimia dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal 2020 merupakan syarikat pelaburan langsung asing (FDI) antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Zhejiang Hengyi Petrochemical Co Ltd di Pulau Muara Besar.

    Loji itu mempunyai kapasiti pengeluaran sekitar 175,000 tong sehari, menghasilkan pelbagai produk termasuk bahan bakar jet, diesel, gasolin, LPG, paraxylene dan petrokimia lain terutamanya untuk dieksport ke China dan pasaran serantau lain.

    Selesai lawatan ke Hengyi, delegasi meneruskan kunjungan ke SC Tubular Sdn Bhd, sebuah syarikat FDI yang pada masa ini beroperasi di Taman Industri Salambigar yang mempunyai 92 peratus tenaga kerja tempatan untuk menguruskan operasinya.

    SC Tubular Sdn Bhd adalah syarikat usaha sama antara Sumitomo Corporation Asia & Oceania Pte Ltd, Jepun yang memiliki saham 75 peratus dan selebihnya dimiliki oleh OMS Oilfield Services Pte Ltd.

    Terdahulu pada sebelah paginya, delegasi mengadakan kunjungan ke Syarikat Joffren Omar Sdn Bhd dan Mahkota Maju Sdn Bhd, syarikat yang sepenuhnya dioperasi dan milik warga tempatan, yang pada masa ini beroperasi di Tapak Industri Sungai Bera.

    Di Joffren Omar, delegasi mendengar taklimat mengenai peranan syarikat itu sebagai ejen tunggal yang mewakili pengeluaran produk-produk bagi syarikat antarabangsa daripada peralatan elektrik dan instrumen, penggerudian, penghasilan kimia, pembinaan, mekanikal dan sebagainya yang pada masa ini mempunyai 90 peratus tenaga kerja tempatan.

    Sementara Mahkota Maju yang kini mempunyai kakitangan seramai 81 orang, dengan 87 peratus daripadanya adalah warga tempatan telah ditubuhkan pada 2004 dengan objektif utamanya untuk menyediakan kecekapan berdasarkan latihan keselamatan kepada industri minyak dan gas yang.

    Lawatan kemudian diteruskan ke SPARK dan pertubuhan Advanced Hydrogen Energy Chain Association for Technology Development (AHEAD) yang merangkumi empat syarikat utama Jepun sebagai anggotanya iaitu Mitsubishi Corporation, Nippon Yusen Kabushiki Kaisha, Chiyoda Corporation and Mitsui & Co Ltd.

    Terletak di kawasan seluas enam hektar, syarikat itu pada masa ini dalam fasa pembinaan untuk membangun loji hidrogenasi untuk menghasilkan cecair hidrogen daripada gas yang dibekalkan oleh Brunei LNG Sdn Bhd. Cecair gas hidrogen akan dihantar ke loji dehydrogenation di Kawasaki.

    Projek itu akan memulakan bekalan gas hidrogen antarabangsa pertama Brunei ke Jepun yang mana sebaik saja loji itu beroperasi ia dijangka akan mengeluarkan 210 tan hidrogen ke Jepun dan boleh mempertenagai 40,000 kenderaan menggunakan sel bahan api.

    Projek tersebut menjadi contoh aktiviti yang berorientasikan eksport industri hiliran yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan industri negara.

    Lawatan kerja ke tapak-tapak itu adalah sejajar dengan aspirasi kementerian untuk memudahkan dan menyokong pembangunan industri negara, aktiviti-aktiviti spin-off sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk mewujudkan kepelbagaian dan ekonomi mapan yang dipimpin oleh orang Brunei bagi kemakmuran rakyat.

    Kementerian berkenaan akan terus bekerja bersama agensi-agensi dan stakeholders berkaitan melalui pendekatan seluruh negara dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda