Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan ICRC, Kuala Lumpur
Menyaksikan krisis kemanusiaan yang dahsyat sedang berlaku di Ukraine, adalah menjadi amanah besar bagi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah atau International Committee of the Red Cross (ICRC) untuk segera mengingatkan pihak-pihak yang terlibat dalam konflik untuk memenuhi kewajipan undang-undang mereka untuk mengelakkan lebih banyak penderitaan dan kehilangan nyawa orang awam.
Sehubungan itu, penguatkuasaan menerusi Konvensyen Geneva dan protokol tambahan pertama diterapkan sepenuhnya dalam konflik bersenjata antarabangsa yang berlaku di Ukraine. Oleh itu, pihak-pihak yang terlibat dalam konflik perlu menghormati set peraturan yang mereka telah komited untuk melindungi orang semasa konflik. Ini bermakna menyelamatkan penduduk awam daripada operasi ketenteraan. Mereka juga harus segera membenarkan laluan selamat untuk orang yang melarikan diri dari pertempuran.
“Untuk mengurangkan penderitaan dan melindungi penduduk Ukraine, ICRC berazam untuk memenuhi mandat yang diberikan negara-negara di dunia ini kepada kita tujuh dekad yang lalu dalam Konvensyen Geneva.
Perlaksanaan misi ini mesti dijalankan segera lebih-lebih lagi di saat pertempuran yang menyebabkan keperluan kemanusiaan yang besar, dan tidak ditangguhkan sehingga gencatan senjata yang berpotensi pada masa hadapan. Pihak-pihak tertentu mempunyai kewajipan untuk memudahkan kerja itu walaupun konflik sedang melanda,” itulah antara yang dijelaskan oleh Presiden ICRC, Peter Maurer dalam kenyataannya di Geneva, baru-baru ini.
Bersatu Bersama Demi Keselamatan Holistik
Dalam pada itu, Peter Maurer turut berkongsi bahawa pasukan ICRC menerima banyak panggilan daripada orang yang terdesak dalam aspek keselamatan. Angka mangsa terus meningkat sementara kemudahan kesihatan berjuang untuk mengatasinya.
Ujarnya lanjut, orang awam yang tinggal di tempat perlindungan bawah tanah memberitahu ICRC bahawa mereka melarikan diri dari peluru yang jatuh terus dari atas udara. Mereka tidak mempunyai pakaian tambahan, bekalan atau ubat yang mereka perlukan. Mereka memerlukan bantuan sekarang.
“Saya gembira melihat keberanian dan dedikasi yang besar daripada sukarelawan kemanusiaan Palang Merah Ukraine. ICRC bersama Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa bertindak balas lebih luas di Ukraine dan negara-negara sekitarnya. Pasukan kami bersedia dan berazam untuk melawat tahanan, menyatukan semula ahli keluarga yang terpisah, menyokong kemudahan penjagaan kesihatan dan meningkatkan bantuan menyelamatkan nyawa yang telah disediakan,” tambahnya.
Tetap Komited Memperkasa Peraturan Isu Kemanusiaan
Peter Maurer turut mengongsikan lagi, hampir 75 tahun yang lalu, negara-negara di dunia bersetuju dengan prinsip asas kemanusiaan semasa konflik bersenjata maka sehubungan itu, ICRC sentiasa memberigakan sebagai peringatan bersama tentang peraturan-peraturan yang telah dimeterai.
Jelasnya, menerusi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan perlindungan orang awam di mana ICRC begitu mengkhuatiri bahawa pertempuran yang berlaku dalam persekitaran-persekitaran tertentu pastinya berisiko serius bagi orang awam.
Dalam perkara ini, serangan terhadap orang awam dan kemudahan awam; serangan indiscriminate dan disproportionate adalah dilarang. Pihak-pihak tertentu mestilah mengambil langkah berjaga-jaga yang boleh dilaksanakan untuk mengelakkan atau meminimumkan bahaya lingkungan awam.
“Mereka mesti melakukan sedaya upaya untuk mengelak dari melibatkan misi serangan ketenteraan berada atau berhampiran dengan kawasan orang awam demi melindungi nyawa mereka daripada kesan serangan. Orang awam harus dibenarkan keluar untuk mencari keselamatan sekiranya mereka ingin berbuat demikian,” tegasnya.
Hormati Undang-Undang Kemanusiaan
Di samping itu, Peter Maurer juga menambah, pentingnya infrastruktur awam, seperti hospital, sekolah, kemudahan air dan elektrik, dilindungi secara aktif dan tidak diserang, sama ada dengan cara kinetik atau siber. Penggunaan senjata haram dan senjata yang diharamkan amat dilarang. Penggunaan senjata letupan berat di kawasan penduduk awam harus dielakkan, kerana ia kemungkinan membawa kesan buruk yang besar.
“Untuk melindungi orang awam, para pejuang mestilah tetap berusaha membezakan diri mereka daripada orang awam dalam semua operasi ketenteraan dengan memakai lencana yang boleh dikenal pasti dan membawa senjata secara terbuka. Mereka mesti menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” tekannya lagi.
Sentiasa Toleransi Menempuhi Krisis
Peter Maurer turut ditekankan ialah akses kepada penjagaan kesihatan, keselamatan pekerja perubatan dan pemulangan jenazah. Mereka yang sakit dan cedera mesti dijaga, tidak kira di pihak siapa.
“Pekerja perubatan, kenderaan perubatan dan hospital khusus untuk kerja kemanusiaan tidak boleh diserang. Pihak yang terlibat dalam konflik juga mesti memudahkan pemulihan, pengenalan dan pengurusan jenazah serta memudahkan bantuan pemulangan jenazah atas permintaan waris mereka; ICRC boleh bertindak sebagai perantara neutral,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga menekankan bahawa setiap pihak dalam konflik mesti mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mempertanggungjawabkan orang yang dilindungi dalam kuasanya meliputi anggota tentera yang cedera, sakit dan mati, tawanan perang dan orang awam yang dilindungi telah dirampas kebebasan mereka.
Tambahnya, adalah sewajarnya, mereka mengumpul, memusatkan dan menghantar maklumat yang diperlukan kepada pihak lain melalui agensi pengesanan pusat ICRC yang bertindak sebagai perantara neutral.
Sementara itu, jelasnya lanjut, tawanan perang dan orang awam yang ditahan mesti dilayan dengan bermaruah dan dilindungi sepenuhnya daripada layanan buruk dan pendedahan kepada orang ramai secara terbuka di media sosial. Konvensyen Geneva 1949 memastikan akses ICRC kepada tahanan merangkumi kedua-dua tawanan perang dan orang awam.
“Semua pihak dan semua wilayah mesti membenarkan dan memudahkan kerja pertubuhan kemanusiaan seperti Palang Merah dan Bulan Sabit Merah. Kerja kami adalah untuk menyelamatkan nyawa. Sekatan dan langkah-langkah sekatan lain mesti direka bentuk untuk membolehkan tindakan bantuan kemanusiaan dapat dijalankan secara bebas,” ujarnya di akhir kenyataannya berkaitan ‘Ukraine: Amid mounting human cost, parties must uphold international humanitarian law’, baru-baru ini.
ICRC selaku salah sebuah pertubuhan institusi kemanusiaan yang berpusat di Geneva, Switzerland sejak ditubuhkan pada tahun 1863 tanpa henti beroperasi di seluruh dunia demi melindungi mangsa-mangsa dalam konflik dan keganasan bersenjata serta menyalurkan bantuan kepada masyarakat yang mengalami bencana dan kesulitan.
Sebagai sebuah organisasi kemanusiaan bebas dan neutral, ICRC telah diberikan kuasa menerusi Geneva Convention pada tahun 1949 dan juga protokol-protokol tambahan yang mana ia juga berhubung kait dengan Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa dan resolusi Konferensi Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
Sehubungan itu, menangani isu kemanusiaan dan menerapkan nilai-nilai keamanan dalam kehidupan seharian adalah menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat global tanpa mengira warna kulit, agama atau kewarganegaraan.