Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Komited promosi kestabilan kewangan, integrasi ASEAN

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Menteri-menteri kewangan ASEAN dan gabenor-gabenor bank pusat terus berdiri teguh dalam komitmennya bagi mempromosikan kestabilan kewangan dan integrasi di rantau ASEAN, di sebalik ketidakpastian yang boleh

    menghalang pertumbuhan ekonomi serantau termasuk pandemik COVID-19, perubahan iklim serta ancaman-ancaman sekuriti bukan tradisional dan tradisional yang lain.

    Dalam hubungan itu, menteri-menteri kewangan dan gabenor-gabenor bank pusat ASEAN mengalu-alukan tema bagi pengerusi ASEAN 2022, Kemboja iaitu ASEAN A.C.T.: Addressing Challenges Together, di mana tema itu amat bertepatan dengan empat tonggak strategik utama bagi Komuniti Ekonomi ASEAN termasuk meningkatkan kesalinghubungan digital, sains dan teknologi, merapatkan jurang pembangunan bagi kedayasaingan ASEAN, mempromosikan sebuah ASEAN yang lebih berintegrasi, inklusif, berdaya tahan dan kompetitif serta mempromosikan Global ASEAN bagi pertumbuhan dan pembangunan.

    Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama bagi Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor-gabenor Bank Pusat (AFMGM) ke-8 yang telah diadakan secara maya pada 8 April lalu.

    Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat berkenaan telah diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rokiah binti Haji Badar.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bersama menteri-menteri kewangan ASEAN dan gabenor-gabenor bank pusat yang menghadiri AFMGM ke-8 secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi

    Menurut kenyataan bersama itu, menteri-menteri kewangan ASEAN dan gabenor-gabenor bank pusat bertukar-tukar pandangan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia (WB), Bank Pelaburan Infrastruk-tur Asia (AIIB), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) mengenai prospek ekonomi global dan serantau, risiko, peluang dan cabaran dasar di sebalik kesan pandemik COVID-19 khususnya daripada gelombang baharu varian Omicron serta kesan perkembangan geopolitik di Eropah yang membawa kepada kenaikan dalam harga minyak dan komoditi lain serta impaknya kepada pemulihan pasca-pandemik serantau.

    Mesyuarat itu juga mengambil maklum mengenai pemulihan di rantau ini dengan pertumbuhan positif keluaran dalam negara kasar (KDNK) ASEAN yang meningkat daripada 3 peratus pada 2021 kepada 4.9 peratus pada 2022, menyokong pembukaan semula secara beransur-ansur dan pemulihan negara-negara anggota ASEAN.

    Namun begitu, kemunculan gelombang baharu COVID-19 dan kesan daripada ketegangan geopolitik di Eropah terus memberikan ketidakpastian kepada kadar pemulihan serta ketidakpastian pasaran kewangan.

    Mesyuarat itu mengalu-alukan usaha negara-negara anggota ASEAN dan pentingnya dasar komprehensif mereka yang kritikal dalam menguruskan kesan buruk krisis ekonomi dan kesihatan.

    Dengan memanfaatkan momentum pemulihan itu, mesyuarat mengenal pasti pemberian vaksinasi kekal sebagai salah satu keutamaan serta pada masa yang sama, respons dasar fiskal dan monetari yang tepat pada masanya amat diperlukan untuk mengukuhkan lagi pemulihan ekonomi.

    Para menteri dan gabenor yang bersidang mengesahkan lagi komitmen untuk mengukuhkan kerjasama bagi mengatasi ancaman serta cabaran kepada pertumbuhan dan inflasi termasuk pandemik COVID-19, perubahan iklim, ketegangan geopolitik dan transformasi digital.

    Pada masa yang sama, mesyuarat akan terus peka dalam memantau risiko dan memastikan sentiasa bersedia dengan semua peralatan dasar yang ada dan langkah-langkah yang luas demi mengekalkan kestabilan kewangan serta pemulihan yang berdaya tahan, mampan dan inklusif dalam rantau berkenaan.

    Mesyuarat berkenaan turut membincangkan pelbagai perkara termasuk integrasi kewangan dan liberalisasi, memudahkan perdagangan dan pelaburan, kesalinghubungan perkhidmatan, pembayaran dan pembiayaan, pembiayaan infrastruktur, pembiayaan mampan, pembiayaan risiko bencana, daya tahan siber dan aset digital.

    Ketika perbincangan mengenai daya tahan siber, mesyuarat mengalu-alukan perkongsian berterusan perkembangan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN berhubung daya tahan siber dan inisiatif pembangunan kapasiti ASEAN Cybersecurity Resilience and Information Sharing Platform (CRISP) untuk menangani ancaman sekuriti siber di kalangan bank-bank pusat.

    Dalam hubungan itu, mesyuarat amat mengalu-alukan penandatanganan tambahan memorandum persefahaman (MoU) oleh semua ahli Rangkaian Teknologi Digital (DTN).

    Ketika membincangkan mengenai aset digital, para menteri dan gabenor yang bersidang mengalu-alukan inisiatif agenda ACMF bagi pertukaran maklumat dan pandangan mengenai pengawalseliaan dan pembangunan dalam bidang aset digital.

    Mesyuarat turut menggalakkan lebih banyak pertukaran pandangan mengenai pembangunan aset digital di kalangan jawatankuasa-jawatankuasa kerja ASEAN yang relevan.

    Mesyuarat turut mengadakan dialog dengan majlis-majlis perniagaan di mana para menteri dan gabenor merakamkan penghargaan kepada Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, CEO institusi-institusi kewangan ASEAN, Majlis Perniagaan ASEAN-EU dan Majlis Perniagaan ASEAN-AS atas pertukaran pandangan yang cemerlang berhubung isu-isu global dan serantau.

    Selain itu, mesyuarat juga mengambil maklum akan sumbangan dan peranan signifikan rakan kongsi industrinya dalam menyokong inisiatif-inisiatif ASEAN dalam memajukan pemulihan ekonomi pasca pandemik serantau ke arah pertumbuhan inklusif, berdaya tahan dan mampan.

    Mesyuarat AFMCM ke-9 akan diadakan pada 2023 dengan dihoskan oleh Indonesia selaku pengerusi ASEAN 2023.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...