Komited tegakkan undang-undang

Oleh Yusrin Junaidi

BELAIT, 21 FEB – Kesalahan-kesalahan memiliki barangan tegahan dan pelanggaran akta pas khas merupakan antara kesalahan yang dikesan dalam operasi sepadu dijalankan lima buah agensi penguat kuasa undang-undang di dua buah lokasi di Sungai Liang, Daerah Belait kelmarin.

Semasa pemeriksaan dijalankan di dua lokasi rumah pekerja asing, empat kesalahan memiliki barangan tegahan berupa rokok dicatatkan manakala lapan pas khas dikeluarkan kepada lapan pekerja asing yang didapati melanggar akta dan akan disiasat lanjut oleh jabatan berkenaan.

Operasi disertai 38 orang pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dari Balai Polis Sungai Liang, Jabatan Kastam dan Eksasis Diraja, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Biro Kawalan Narkotik dan Bahagian Penguat kuasa Ugama serta ahli Pengawasan Kejiranan diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Sungai Liang, Inspektor Kanan Polis, Haji Rabi’ul Shukreen bin Abdullah.

Menurut kenyataan yang diterima daripada PDB, agensi penguat kuasa undang-undang akan terus komited dan berterusan menegakkan undang-undang negara ini bagi memastikan Negara Brunei Darussalam sentiasa bersih daripada segala anasir negatif yang menyumbang kepada kejadian-kejadian jenayah.

Sehubungan itu, PDB menyeru orang ramai memberikan kerjasama padu dalam penyaluran dan perkongsian maklumat melalui talian-talian kecemasan pihak penguat kuasa undang-undang di negara ini.