Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Komited tingkatkan kapasiti, saling boleh kendali

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar serahan Kementerian Pertahanan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS), USS Jackson telah membuat persinggahan logistik di Brunei Darussalam dari 14 Januari lalu hingga hari ini.

    Seiring dengan lawatan tersebut, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan TLAS telah berjaya melaksanakan Passage Exercise (PASSEX) pada 13 Januari lalu antara KDB Daruttaqwa dan USS Jackson.

    Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, semua mesyuarat perancangan dan penyelarasan bagi PASSEX telah dijalankan secara dalam talian manakala pelaksanaan PASSEX dikendalikan tanpa interaksi fizikal antara kedua-dua kapal selaras dengan garis pandu COVID-19 daripada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan.

    Semasa PASSEX, kedua-dua kapal telah menjalankan beberapa siri komunikasi dan latihan maneuver yang diakhiri dengan formasi perpisahan dan mengucapkan selamat tinggal serta merakamkan penghargaan atas persahabatan yang baik antara kedua-dua tentera laut.

    Kenyataan menyatakan, PASSEX memberi peluang kepada semua anak kapal dan pegawai-pegawai dari kedua-dua tentera laut untuk berlatih dan meningkatkan keupayaan mereka semasa melakukan siri latihan; serta meningkatkan lagi saling boleh kendali antara TLDB dan TLAS. 

    Kapten Khairil menerima kunjungan hormat secara dalam talian daripada Komander Michael Root semasa lawatan logistik USS Jackson baru-baru ini.

    Kedua-dua kapten melahirkan rasa syukur dan berpuas hati dengan latihan tersebut dan mengharapkan lebih banyak peluang untuk mengeratkan lagi hubungan tentera laut pada masa hadapan.

    Dalam lawatan logistik tersebut, Pemerintah Armada TLDB, Kapten Khairil bin Haji Abdul Rahman turut menerima kunjungan hormat secara dalam talian oleh Pegawai Pemerintah USS Jackson, Komander Michael Root di mana kedua-dua pihak menyatakan komitmen bagi mempertingkatkan saling boleh kendali dan peluang membina kapasiti pada masa hadapan.

    Menurut Kedutaan AS di Brunei Darussalam, lawatan kapal berkenaan melambangkan perkongsian keselamatan yang mendalam dan berkekalan antara AS dan Brunei Darussalam.

    Walaupun terdapat komplikasi logistik akibat COVID-19, Brunei Darussalam dan AS telah meneruskan latihan dan penglibatan ketenteraan mereka secara dalam talian bagi meningkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) di rantau ini semasa Southeast Asia Cooperation and Training (SEACAT) pada Ogos 2021 dan Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) pada November 2021 yang turut melambangkan komitmen keselamatan AS terhadap rantau ini.

    TLDB kekal komited dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara TLDB dan TLAS, meningkatkan tahap saling boleh kendali dan peluang membina kapasiti ke arah matlamat kerjasama di laut. TLDB mendoakan perjalanan yang lancar bagi USS Jackson ke pelabuhan seterusnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...