Oleh Sim Y. H.-
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Negara Brunei Darussalam menunjukkan kemajuan dalam menggerakkan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Laporan Voluntary National Review (VNR) Kedua yang telah dihasilkan melalui proses berpandukan data dan penglibatan semua pihak telah membantu dalam mengenal pasti kedudukan dan cabaran-cabaran serta tindakan-tindakan yang diperlukan dalam pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kebangsaan.
Kenyataan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa menyampaikan Kenyataan Kebangsaan pada Dialog Pemimpin mengenai usaha dalam meningkatkan tindakan-tindakan ke atas peralihan utama untuk mempercepatkan kemajuan SDG di Sidang Kemuncak SDG Kedua di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York, Amerika Syarikat, kelmarin.
JPM dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyedari akan kesan tindakan pada masa ini kepada generasi akan datang, Yang Berhormat Dato berharap supaya Sidang Kemuncak SDG Kedua dapat membuka peluang untuk mengubah sikap business-as-usual dan memulakan bab baharu dalam menyahut seruan global bagi meningkatkan tindakan-tindakan SDG.
Seterusnya, beliau menyatakan kesediaan kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk merubah komitmen SDG bersama komuniti global dengan mengongsi empat komitmen kebangsaan yang inklusif, berdaya tahan dan transformatif.

Komitmen berkenaan ialah pendidikan dan latihan berkualiti yang inklusif dan saksama, pekerjaan yang baik (decent jobs), perkhidmatan yang lebih baik dan ekosistem pemboleh yang didukung oleh teknologi bagi memastikan semua orang dapat menjalani kehidupan yang harmoni, bermaruah dan diperkasa serta menuju ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 melalui peralihan tenaga dan pemuliharaan hutan serta meningkatkan langkah-langkah penyesuaian bagi masa depan negara dan komuniti melalui Pelan Penyesuaian Negara.
Komitmen yang dikongsi oleh Yang Berhormat Dato ialah meningkatkan kemajuan dalam Matlamat ke-12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab) dengan meneroka kaedah-kaedah bagi mencapai kesaksamaan ekonomi, sosial dan alam sekitar melalui tindakan-tindakan sepadu ke arah kemampanan.
Ini seperti mengukuhkan lagi rangka kerja perundangan dan institusi bagi memastikan pengurusan yang berdaya tahan dan penggunaan sumber-sumber yang efisien serta mewujudkan peluang-peluang ekonomi daripada model ekonomi hijau dan sekular serta melaksana laluan (pathway) peralihan tenaga ke arah tenaga bersih dan tenaga rendah karbon, dan pada masa yang sama memenuhi peningkatan permintaan ekonomi dunia.
Yang Berhormat Dato turut menyatakan, tindakan-tindakan transformatif berkenaan memerlukan dukungan dan sumber-sumber global yang kukuh, penyelesaian SDG berasaskan bukti yang lebih mantap dan peranan serta sumbangan semua anggota masyarakat terus dikekalkan.
Sidang Kemuncak SDG Kedua menggesa negara anggota PBB untuk mentransformasikan komitmen SDG masing-masing bagi memacu kemajuan SDG.
Perbincangan antara lain menilai keseluruhan pelaksanaan SDG dan memberikan panduan tindakan dasar dan pelaburan dalam menangani impak cabaran-cabaran global dengan memfokuskan kepada rakyat dan planet untuk memajukan SDG seperti tenaga, digitalisasi, pendidikan, perlindungan sosial, alam sekitar dan jaminan makanan.
Sidang kemuncak turut mengesahkan deklarasi politik yang menggariskan komitmen global bagi mempercepatkan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan.
Turut hadir pada sidang kemuncak berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Wawasan) di JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Penyelarasan Kebangsaan SDG bagi Negara Brunei Darussalam.
Kenyataan Negara Brunei Darussalam dan deklarasi politik boleh dimuat turun menerusi laman sesawang www.sdgbrunei.gov.bn.