Tuesday, December 5, 2023
23.1 C
Brunei

    -

    Komitmen bersama ke arah ekonomi biru

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Nilai teras ekonomi biru terletak pada keseimbangan mengekalkan ekosistem marin yang sihat dan memastikan manfaat ekonomi daripada sumber pantai dan marin untuk pertumbuhan inklusif.

    “Transformasi kepada ekonomi biru inklusif memerlukan komitmen bersama, usaha kolaboratif dan pendekatan bersepadu daripada peringkat tempatan hingga global”.

    Perkara tersebut ditegaskan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab semasa menyampaikan ucapan pembukaan Simposium bertajuk ‘Mengekalkan Biodiversiti Marin menerusi Ekonomi Biru 2023’ bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2023, di Pusat Kesenian Pro Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Dalam ucapan itu, beliau turut mengongsikan kepentingan ekonomi biru dalam konteks hari ini dan peranan serta rancangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Katanya, “Negara Brunei Darussalam mengiktiraf peranan ekonomi biru dalam menggalakkan pembangunan sosioekonomi melalui pengawasan laut yang lebih baik dan sumber berkaitan.

    Hajah Tutiaty semasa menyampaikan ucapannya. – Gambar oleh Azlan Othman

    “KSSUP telah melaksanakan pelbagai intervensi dalam usaha untuk mencapai pengurusan perikanan yang mampan dan pemuliharaan alam sekitar marin,” jelasnya.

    Ini termasuk, mitigasi penangkapan ikan berlebihan melalui pelaksanaan moratorium, memperkenalkan dan menguatkuasakan peraturan saiz jaring, pengezonan kawasan penangkapan ikan dan lain-lain.

    “Negara Brunei Darussalam mengambil berat tentang beberapa isu dalam usaha untuk menguruskan sumber marin secara mampan, termasuk isu kemerosotan kekayaan spesies marin,” jelasnya

    Beliau turut menegaskan, peranan utama dalam menghadapi cabaran global dan untuk mencapai kejayaan peralihan kepada ekonomi lautan yang mampan, memerlukan kerjasama global merentasi sempadan dan sektor.

    Di samping penglibatan aktif kuasa antarabangsa melalui rangka kerja institusi dan undang-undang, adalah perlu untuk mencapai 14 matlamat untuk tindakan global bagi melindungi alam sekitar marin.

    “Kemampanan lautan menuntut usaha baharu untuk melindungi kawasan biodiversiti utama dan ini turut menunjukkan bahawa kerajaan, organisasi dan pembuat keputusan perlu menggunakan kuasa bagi memastikan bahawa dasar tidak akan menjejaskan satu dengan yang lain,” jelasnya lagi.

    Sementara itu, Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dalam ucapan alu-aluannya pula antara lain menyatakan bahawa simposium berkenaan berfungsi sebagai platform tepat untuk perbincangan yang menumpukan kepada memelihara biodiversiti marin melalui pendekatan ekonomi biru.

    Dengan menggunakan sumber marin secara mampan, tambahnya, ia boleh mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan usaha pemuliharaan.

    Beliau turut mengongsikan bahawa UBD telah membuat pelaburan besar dalam penyelidikan berkaitan biodiversiti marin Brunei, dan ini merangkumi ekosistem pantai dan marin.

    “Kajian telah memberi tumpuan kepada kepelbagaian dan pemuliharaan ekosistem ikan dan terumbu karang, ekologi dan kepelbagaian invertebrata marin bentik, ekotoksikologi marin dan kesan pencemaran dan perubahan iklim,” jelasnya.

    Di sebalik kemajuan ini, tambah beliau, adalah penting untuk memupuk penyelarasan
    dan pertukaran data dalam kalangan pihak berkepentingan di negara ini dan melalui usaha kerjasama itu, ia dapat menerangkan dengan lebih mendalam akan kesan pembangunan infrastruktur dan perubahan iklim yang berterusan ke atas ekosistem marin kita.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Hujan lebat landa selatan India

    INDIA, 4 DIS – Hujan lebat melanda bandar Chennai di selatan India hari ini dan dijangka akan berlaku ribut. Ribut Michaung dijangka melanda pantai...