Komitmen Jerman dipersoal

WASHINGTON, 2 April – Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald Trump hari ini sebelum perayaan ulang tahun ke-70 gabungan itu, yang menjadi sasaran kerap pemimpin AS itu.

Kunjungan ke Rumah Putih itu dibuat sebelum rundingan dua hari di Washington dalam kalangan 29 orang menteri luar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, dengan bayangan Rusia sekali lagi menjadi agenda utama.

Trump telah lama mempersoalkan kebergunaan gabungan ini dan mencirikan rakan-rakan anggota sebagai yang suka mengambil kesempatan.

Beliau dengan mengejek mempersoalkan mengapa NATO mempertahankan negara kecil Montenegro dan berang terhadap Jerman, ekonomi terbesar di Eropah kerana tidak memenuhi sasaran NATO bagi setiap negara membelanjakan 2 peratus GDP pada pertahanan.

Stoltenberg, yang bercakap kepada para pemberita sebelum meninggalkan pangkalan NATO, Brussels bersetuju Jerman seharusnya berpegang pada komitmen dari sidang kemuncak NATO dalam tahun 2014.

“Saya menjangkakan Jerman menunaikan janji yang telah dibuat oleh Jerman bersama-sama dengan sekutu-sekutu NATO yang lain,” kata Stoltenberg, bekas perdana menteri Norway.

“Saya menjangkakan mereka akan memenuhi komitmen perbelanjaan dan mereka telah mengemukakan kepada NATO rancangan negara, yang mana mereka menggariskan bagaimana Jerman akan menambah perbelanjaan pertahanan dalam syarat sebenar dengan 80 peratus dalam tempoh sedekad.”

Kay Bailey Hutchinson, duta AS ke NATO juga menyuarakan harapan bagi lebih perbelanjaan ketenteraan oleh Canselor Jerman Angela Merkel tetapi lebih diplomatik berbanding Trump.

“Kami perlukan lebih dari Jerman kerana mereka adalah ekonomi paling mantap di Eropah. Mereka perlu melakukan lebih, mereka mengatakan mereka perlu melakukan lebih, justeru saya tahu keinginan Canselor Merkel itu ada,” dia memberitahu para pemberita, dengan menyatakan pemimpin Jerman mengemudi kerajaan campuran yang rumit. – AFP

Jens Stoltenberg bercakap pada satu siding media di Ibu Pejabat NATO di Brussels. – AP