Komitmen kolektif ke arah kemapanan ASEAN

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2021, bertitah, dengan pandemik yang masih berterusan, ekonomi global kekal rapuh dan tidak menentu.

“Dalam menangani krisis ini, adalah lebih penting bagi ASEAN dan rakan-rakan dialognya untuk meningkatkan perpaduan dan kerjasama serta menggalakkan penglibatan berterusan di antara sektor swasta dan awam,” tekan Baginda semasa mengurniakan titah khas menerusi video rakaman semasa Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan (ABIS) 2021, hari ini.

Baginda bertitah, sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2021, Negara Brunei Darussalam diberikan penghormatan untuk memimpin rantau ini ke arah pemulihan ekonomi. Dengan tema We Care, We Prepare, We Prosper, ASEAN menekankan komitmen secara kolektif dalam menjaga penduduknya dan bersedia menghadapi cabaran dan peluang masa depan, dengan matlamat memastikan seluruh Komuniti ASEAN boleh makmur secara mampan.

Baginda juga menyentuh mengenai bagaimana 13 Priority Economic Deliverables (PEDs) bagi Negara Brunei Darussalam dapat menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi, antara lainnya melalui pemanfaatan teknologi terkini dan pendigitalan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lestari di ASEAN. Penandatanganan perjanjian Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) pada 2020 menunjukkan usaha bersepadu ASEAN ke arah memajukan kerjasama perdagangan antarabangsa dan pemulihan serantau.

Baginda menambah bahawa ABIS akan menyediakan platform untuk penggubal dasar dan pihak berkepentingan yang lain untuk berbincang, mengongsikan pengalaman dan bekerjasama dalam cara-cara membolehkan perniagaan bagi menjadi lebih mampan dan berdaya tahan menghadapi kejutan masa depan. Sebelum mengakhiri titah, Baginda berharap sektor swasta dan awam akan terus berganding bahu agar rantau ini dapat pulih bersama dan dapat bangkit lebih kuat.

ABIS merupakan Forum Tahunan Perdana Asia Tenggara yang mengumpulkan para pemimpin, para presiden, perdana menteri-perdana menteri serta komuniti perniagaan Negara-Negara Anggota ASEAN (AMS) dan rakan-rakan dialog ASEAN. Sebagai salah satu acara rasmi ASEAN, ia merupakan satu platform untuk membincangkan isu-isu utama yang dihadapi dan ditangani oleh rantau ini serta bagi membincangkan cara-cara untuk memastikan peluang-peluang ekonomi di ASEAN berkembang secara lestari dan inklusif.

Tema sidang pada 2021 iaitu Building Our Sustainable Digital Future, memberi tumpuan kepada usaha bersama membina semula dengan lebih baik dan pemulihan yang kukuh.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah khas
menerusi video rakaman pada Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan (ABIS) 2021, kelmarin.- Gambar oleh Infofoto