Komitmen negara ke arah pencapaian Agenda 2030

Oleh Sim Y. H.

Dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Milenium menuju ke arah Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), Negara Brunei Darussalam telah mengorak langkah untuk terus maju dan sehingga kini telah mencatat beberapa perkembangan yang memberangsangkan.

Agenda 2030 adalah selaras dengan visi Negara Brunei Darussalam, iaitu Wawasan Brunei 2035, di mana ia bermatlamat memberikan taraf kehidupan yang tinggi dan berkualiti kepada penduduk dan membina ekonomi yang dinamik dan mampan dengan tenaga kerja yang berpendidikan, berkemahiran tinggi serta berjaya menjelang 2035.

Usaha pembangunan negara itu disokong dengan semangat kemasyarakatan yang tinggi dan mempunyai penghormatan yang tinggi terhadap nilai-nilai kekeluargaan serta pada masa yang sama, menegakkan kebudayaan dan tradisi negara yang kaya.

Pihak kerajaan juga menjadikannya satu keutamaan untuk terus memberikan jaminan terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduk di setiap peringkat demi memastikan tiada yang tercicir di belakang.

VNR diperkenalkan

Dalam hubungan itu, Voluntary National Review (VNR) Negara Brunei Darussalam diperkenalkan untuk menggariskan perjalanan, cabaran dan pencapaian SDGs setakat ini dan juga perkembangan lanjut yang ingin dicapai.

Dalam persediaan untuk laporan VNR berkenaan, sebuah jawatankuasa khas persediaan yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri telah ditubuhkan.

Ia merangkumi kementerian-kementerian kerajaan yang relevan dengan penglibatan aktif bersama pihak-pihak yang berkepentingan yang relevan, termasuk organisasi-organisasi bukan kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan awam.

Penglibatan inklusif dan telus yang dilaksanakan oleh semua pihak berkenaan memastikan kesedaran dan pemilikan yang lebih tinggi terhadap laporan tersebut yang benar-benar mencerminkan perspektif holistik dan komprehensif usaha SDGs Brunei.

Laporan VNR itu juga memberikan peluang untuk mengemaskinikan strategi, dasar-dasar dan mekanisme institusi serta mengenal pasti jurang-jurang pelaksanaan.

Negara Brunei Darussalam pada masa ini menikmati salah satu daripada standard kehidupan yang tertinggi di Asia di mana rakyatnya terus hidup makmur dan dalam suasana yang selamat dan harmoni dengan akses kepada penjagaan kesihatan universal, pendidikan serta infrastruktur berkualiti.

Standard pendidikan dan kesihatan di Brunei Darussalam adalah antara yang tertinggi di kalangan negara-negara membangun di mana kadar pendaftaran yang tinggi itu menyumbang kepada kadar literasi yang tinggi iaitu lebih 95 peratus.

Negara Brunei Darussalam juga disahkan bebas daripada penyakit-penyakit berjangkit iaitu polio, malaria, campak dan baru-baru ini, rubella, kadar kematian ibu mengandung yang rendah serta telah berjaya mencapai sasaran SDG bagi kadar kematian neonatal dan kanak-kanak.

Pada masa yang sama, 100 peratus penduduk Brunei mempunyai akses kepada air minum yang bersih manakala 92 peratus menikmati akses kepada sistem sanitasi yang baik.

Negara Brunei Darussalam juga terus menyediakan perumahan yang mampan dan mampu untuk dimiliki serta sokongan kewangan yang mencukupi bagi warga miskin, warga emas dan warga kelainan upaya.

Negara juga telah mencatat perkembangan yang signifikan dalam mendalami dan mempertingkat kesalinghubungan, iaitu dari segi fizikal dan secara maya di mana 97.54 peratus negara telah dihubungkan oleh jalan raya serta penembusan mudah alih melebihi 100 peratus secara konsisten sejak 2012.

Perkembangan berlanjutan

Selain itu, Forum Ekonomi Dunia juga mengenal pasti perkembangan signifikan Negara Brunei Darussalam ke arah kesaksamaan jantina dalam bidang-bidang utama seperti pendidikan, kesihatan serta penyertaan ekonomi.

Negara Brunei Darussalam juga mempunyai ranking yang tinggi bagi kemasukan perempuan dalam pendidikan menengah dan pengajian tinggi, kesaksamaan pendapat bagi kerja-kerja yang serupa dan juga menggaji penggubal undang-undang, pegawai-pegawai kanan dan pengurus-pengurus wanita.

Negara Brunei Darussalam juga amat bangga menjadi di antara negara karbon neutral dan Dasar Iklim Kebangsaan Brunei bermatlamat untuk mencapai perkembangan lanjut dalam mempertahankan alam sekitar dan sumber-sumber aslinya.

Ketahanan dan perpaduan negara juga dapat disaksikan menerusi respons yang tangkas dan bersepadu terhadap pandemik COVID-19 yang mana penularan wabak berkenaan berjaya dikawal dalam negara.

Dalam hal ini, kerajaan telah mengerakkan sumber-sumber untuk memastikan kapasiti yang mencukupi bagi sistem kesihatan termasuk dengan menubuhkan pusat-pusat kuarantin dan membina sebuah makmal virologi yang baharu.

Untuk mengurangkan kesan negatif kepada perniagaan, pekerjaan dan untuk memastikan pemulihan ekonomi yang pantas pasca COVID-19, kerajaan telah mengambil tindakan dengan memberikan elaun cukai, menangguhkan pembayaran pinjaman serta re-skilling dan up-skilling bagi pekerja-pekerja yang terjejas.

Institusi-institusi pendidikan juga memberikan respons yang pantas dengan pelaksanaan pembelajaran dalam talian di rumah untuk para pelajar.

Negara Brunei Darussalam amat menghargai kerjasama global untuk mencapai Agenda 2030 dengan jayanya.

Komitmen negara dukung VNR

Sehubungan itu, Brunei mengalu-alukan bantuan teknikal dan program-program pembangunan kapasiti ke arah pengukuhan kapasiti negara dan akan terus menyokong usaha organisasi serantau dan antarabangsa khususnya kerja-kerja yang dilaksanakan oleh ASEAN Centre for Sustainable Development Studies and Dialogue, Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Laporan VNR Negara Brunei Darussalam mencerminkan komitmen negara ke arah Agenda 2030. Cabaran sekarang adalah untuk membuat, mengekalkan dan memantau perkembangan lanjut serta untuk memastikan pencapaian-pencapaian yang dicapai adalah menyeluruh serta meliputi semua bidang.

VNR itu juga dijadikan sebagai satu peringatan bahawa Negara Brunei Darussalam bukan sahaja akan terus mendalami lagi usahanya, tetapi sebagai sebuah negara dan rakan kongsi dalam komuniti global ke arah masa depan mampan untuk semua.