Komitmen semua negara jadikan PBB lebih baik

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengulangi ikrar Negara Brunei Darussalam untuk terus bekerjasama dengan semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi melaksanakan komitmen dan tanggungjawab serta memastikan dunia dan penduduk terus hidup aman, berkembang dan maju.

Baginda bertitah menekankan perkara tersebut semasa Mesyuarat Peringkat Tinggi sempena Memperingati Ulang Tahun Penubuhan PBB yang ke-75 yang membawa tema The Future We Want, the UN We Need: Reaffirming our Collective Commitment to Multilateralism, yang telah diadakan secara maya bersama negara-negara anggota, pagi tadi.

Dalam titah tersebut, Baginda turut menyertai rakan-rakan PBB dalam mengutuskan ucapan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Bozkir (Volkan Boz-kerrsh) atas pelantikannya sebagai presiden ke-75 Perhimpunan Agung itu.

Dalam semangat keamanan dan perpaduan, Baginda bagi pihak kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam turut berkenan mengutuskan ucapan takziah dan simpati kepada semua yang terjejas akibat virus COVID-19.

Baginda juga menyentuh mengenai pencapaian PBB yang sangat membanggakan dan kekal relevan selama tiga suku abad, yang bukan saja aktif terlibat malah melaksanakan mandatnya dalam semua perkara signifikan. Kecekalan itu telah mencerminkan komitmen PBB dan badan khas yang mahu ia berfungsi dan menjadikan dunia sebaik-baik tempat.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa mesyuarat peringkat tinggi sempena ulang tahun penubuhan PBB ke-75.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menghadiri mesyuarat maya peringkat tinggi sempena ulang tahun PBB.

Selama bertahun-tahun, PBB telah berdepan banyak cabaran dan mampu menyelesaikan konflik di Bosnia, Timor-Leste, malah dekat di ASEAN, di Kemboja. Bagaimanapun, persoalan mengenai Palestin, pengganasan, pencapaian Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) dan perkara yang lain, masih lagi sedang diusahakan.

Dan kini, kita berdepan cabaran dengan tidak dijangkakan dalam kehidupan seperti perubahan iklim dan pandemik COVID-19, titah Baginda lagi.

Baginda menekankan sejarah telah mengajar yang kita tidak akan dapat merealisasikan pencapaian seumpamanya tanpa sokongan dan komitmen kuat dari semua negara, malah bukannya dengan meninggalkan PBB apabila ia berdepan kesukaran dari segi politik, tetapi dengan bekerja dan mencari fokus bersama di peringkat negara dan antarabangsa.

PBB belum lagi sempurna dan kos untuk mengekalkannya tetap meningkat setiap tahun, bagaimanapun tidak ada pilihan lain yang boleh menggantikan peranannya.

Oleh itu, titah Baginda, kita perlu terus untuk menjadikannya lebih baik, lebih kos efektif dan membe-rinya lebih kuasa untuk menyokong multileralisme, dan peraturan dunia berdasarkan peraturan undang-undang sejagat dalam memastikan pertubuhan ini sentiasa relevan kepada semua. Paling utama kepada perkara itu adalah komitmen daripada semua negara-negara anggota dalam memastikan setiap negara mendukung dan menghormati prinsip kedaulatan dan integriti wilayah seperti yang termaktub dalam piagam PBB, dan di mana negara-negara kecil seperti Brunei boleh bergantung dan suara kita didengar sama rata seperti semua negara lain, besar mahupun kecil.

Jika pertubuhan ini gagal, kita akan gagal dan harapan lebih tujuh bilion penduduk akan lenyap.

Dengan semangat itulah Brunei menyertai kumpulan negara-negara ini selama lebih 35 tahun, tegas Baginda.