Thursday, October 10, 2024
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kompany gegar Etihad

    MANCHESTER, 7 Mei – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mendahului pujian kepada Vincent Kompany selepas ledakan kencang pemain pertahanan Belgium itu meraih kemenangan penting 1-0 ke atas Leicester City awal pagi tadi, sekali gus meletakkan juara Inggeris itu hanya memerlukan satu kemenangan untuk mengekalkan gelaran Liga Perdana.

    City kembali satu mata di depan Liverpool meskipun tidak berada dalam prestasi terbaik ketika Kompany melepaskan rembatan jarak jauh ke sudut atas gawang ketika perlawanan berbaki 20 minit.

    Skuad kendalian Guardiola akan menjadi pasukan pertama dalam tempoh sedekad untuk mengekalkan gelaran di Brighton hujung minggu ini selagi mereka menyamai atau mengatasi keputusan Liverpool, yang menentang Wolves.

    Kompany, yang kurang bernasib baik dengan kecederaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menangis ketika dia menerajui satu pusingan penghormatan bersama anak-anaknya bagi menandakan perlawanan terakhir City di laman sendiri musim ini dan mungkin aksi terakhirnya di Etihad kerana kontraknya mansuh akhir kempen ini.

    “Terdapatnya pemain yang membantu kita untuk berada di mana kita berdiri sekarang,” kata Guardiola.

    Vincent Kompany (tengah) bersaing merebut bola dengan dua pemain Leicester City dalam aksi Liga Perdana di Stadium Etihad. Perlawanan berkesudahan 1-0. – AP

    “Vincent adalah salah seorang daripada mereka. Semasa cergas dia adalah pemain pertahanan yang luar biasa. Dia disayangi, dia seorang pemimpin. Saya gembira untuknya, untuk kelab dan semua orang.”

    Selepas menang tipis ke atas Newcastle 3-2 hujung minggu lalu, Liverpool, yang belum pernah memenangi liga sejak 1990, menaruh harapan kepada bekas pengurus mereka iaitu Brendan Rodgers untuk melakukan sesuatu di Etihad.

    Leicester City mempamerkan peningkatan sejak Rodgers mengambil alih pada Februari, di mana pasukan itu mempamerkan permainan bertenaga menentang City, yang bergelut yang mana City berjaya merangkak keluar dengan kemenangan.

    Dan Guardiola mengakui bahawa dia menggesa Kompany agar tidak melakukan sepakan, yang mana gol itu merupakan gol pertama yang dijaringkan dari luar petak penalti sejak bermain untuk Hamburg pada tahun 2007.

    “Ia bukan hanya mengenai gol yang anda jaringkan, ia adalah mengenai bila anda menjaringkannya. Hari adalah perlu,” kata Kompany.- AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda