BASEL, Switzerland, 13 Feb – Kapten Manchester City, Vincent Kompany menegaskan bahawa ‘sekarang adalah masanya’ bagi pasukannya untuk memberikan impak serius di Eropah, tetapi mengetepikan perbincangan untuk memenangi empat gelaran musim ini.
Pendahulu Liga Perdana itu, City, berdepan Basel di St. Jakob-Park awal pagi Rabu dalam pusingan 16 terakhir pertama Liga Juara-Juara, manakala aksi timbal balik akan berlangsung pada 8 Mac depan di Manchester.
Pasukan kendalian Pep Guardiola itu tiba di Switzerland semalam dengan keyakinan penuh, berbekalkan kemenangan 5-1 membenam Leicester pada Sabtu lalu. Ia memastikan mereka melebarkan 16 mata di puncak Liga Perdana.
Tetapi City ada perhitungan yang perlu dibuat dalam peringkat kalah mati Eropah selepas memenangi kumpulan mereka musim ini.
“Jika terdapat masa pasukan selesa dalam kejohanan ini, ia adalah sekarang,” kata Kompany.
“Saya tidak akan menyatakan masanya akan tiba, kerana sebahagian pasukan tidak pernah memenanginya, tetapi jika bukan tahun ini, ia mungkin tahun depan atau seterusnya.
“Kami akan mencapainya, saya pasti mengenainya.”
Mereka tewas kepada juara Real Madrid dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara –Juara 2015/16, kemudian tersingkir dalam pusingan 16 kepada Monaco pada musim lalu.
Musim ini, pasukan kendalian Guardiola hanya tewas sekali dalam 27 perlawanan Liga Perdana, tetapi Kompany tidak membesar-besarkan bagi kemungkinan empat kejuaraan iaitu Liga Juara-Juara, Piala FA, Liga Perdana dan Piala Liga. – AFP