SOUTHAMPTON, 16 April – Kapten City, Vincent Kompany menegaskan, gol pertamanya dalam tempoh 20 bulan ketika membantu Manchester City menang 3-0 ke atas Southampton awal pagi tadi adalah ganjaran kepada kerja kerasnya mencapai tahap kecergasan terbaik.
Kompany hanya tampil dalam kesebelasan pertama Liga Perdana Inggeris buat kali keempat selepas mengharungi musim yang dibayangi kecederaan dan pemain pertahanan itu meraikan kepulangannya dengan gol pembukaan di St Mary’s.
Pemain sayap City, Leroy Sane dan Sergio Aguero telah memastikan tiga mata milik City apabila masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-77 dan 80 perlawanan menerusi serangan balas menarik.
Dengan Manchester United mula menyesakkan nafas mereka dalam pemburuan slot tempat keempat dan kelebihan satu perlawanan, City memerlukan keputusan baik dalam perlawanan itu, yang mana merupakan kemenangan kedua liga daripada enam perlawanan, untuk memintas Liverpool ke tangga ketiga. Pertahanan Belgium itu menanduk masuk gol pada minit ke-55, gol pertamanya sejak Ogos 2015 selepas mengharungi proses pemulihan yang panjang akibat beberapa siri kecederaan dialaminya.

Walaupun timbul spekulasi yang mendakwa pengendali City, Pep Guardiola sudah hilang sabar dengan tahap kecergasan pertahanan 31 tahun itu dan bersedia melepaskannya, Kompany menunggu masa yang sesuai untuk membuktikan kemampuannya. “Bagi saya ia adalah perjalanan yang panjang untuk kembali selepas kecederaan,” kata Kompany.
“Saya telah menjaringkan di depan penyokong lawan dan bagi saya ia adalah satu perasaan yang mengembirakan. Saya mahu mengingati pengalaman positif ini.
“Bermain bola sepak seperti ini tidak semua orang dapat mengalaminya. Usaha keras selama ini sangat berbaloi untuk ini.” – AFP