Kompaun jika gagal pamer BruHealth, pakai pelitup muka dan gelang tangan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Denda kompaun sebanyak $100 akan dikenakan kepada sesiapa yang didapati gagal menunjukkan aplikasi BruHealth di telefon bimbit masing-masing atau orang lain yang dikenali seperti penjaga, majikan, pengurus atau rakan mereka semasa meninggalkan rumah.

Selain itu, kegagalan untuk memakai pelitup muka di tempat-tempat awam juga akan dikenakan denda kompaun sebanyak $100.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menekankan bahawa Kementerian Kesihatan juga telah mewajibkan pemakaian gelang tangan bagi mereka yang telah dikenal pasti positif COVID-19 dan juga bagi kontak-kontak yang telah diarahkan untuk menjalani perintah kuarantin yang mana gelang tangan tersebut hendaklah dipakai sehingga tempoh kuarantin tamat.

Beliau memberikan amaran, “Sesiapa yang dengan sengaja memotong, melonggarkan atau membuka gelang tangan sebelum tempoh pemakaian tamat akan dikenakan denda kompaun sebanyak $5,000, sebagaimana peruntukan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204).

“Semoga segala usaha yang dilaksanakan bagi mengawal penularan COVID-19 di negara ini akan mendapat keberkatan dari Allah SWT jua dan semoga kita semua sentiasa terlindung daripada kemudaratan COVID-19,” tambahnya.

Pegawai polis memeriksa aplikasi BruHealth pemandu dan penumpang semasa sekatan jalan raya yang dijalankan baru-baru ini. – Gambar serahan PPDB