Oleh Ahmad Erwan Othman
GERIK – Kompleks Hutan Belum Temengor di sini yang menjadi ‘rumah’ kepada pelbagai flora dan fauna termasuk lebih 300 spesies burung serta burung migrasi, mampu menjadi destinasi popular para pemerhati burung dari seluruh dunia. Kehadiran 10 spesies burung enggang adalah suatu kelebihan bagi hutan itu, jadi tidak hairanlah jika kawasan itu dikenali sebagai ‘Hornbill Capital of the World’ oleh Ecotourism and Conservation Society Malaysia (ECOMY).
Kompleks Hutan Belum Temengor itu yang terdiri dari tiga hutan simpan – Hutan Simpan Gerik, Hutan Simpan Banding dan Hutan Simpan Temengor – dan sebuah taman negeri iaitu Taman Negeri Royal Belum, adalah ibarat ‘syurga’ bagi golongan pemerhati burung.
Menyedari potensi kawasan itu, ECOMY dengan kerjasama Belum Rainforest Resort, Belum Forest Friends (BFF) dan Perbadanan Taman Negeri Perak menganjurkan aktiviti memerhati burung, seperti Royal Belum International Hornbill Expedition 2018, yang berlangsung dari 3 hingga 5 September, sebagai antara usaha memupuk kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
Pakar berkaitan burung Andrew Sebastian yang juga Presiden ECOMY berkata secara tidak langsung, aktiviti seumpama itu boleh meletakkan Kompleks Hutan Belum Temengor serta daerah Gerik sebagai destinasi penting untuk melihat burung, selaras keistimewaan daerah itu dari segi pemeliharaan kepelbagaian biodiversitinya.
Enggang terancam
Beliau berkata jika cuaca baik dan kena waktunya, besar kemungkinan kesemua 10 spesies enggang yang terdapat di situ boleh dilihat, termasuk Enggang Tebang Mentua (Helmeted Hornbills) yang dikategorikan sebagai sangat terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).
“Kita bertuah kerana kawasan hutan ini mempunyai tarikan tersendiri iaitu 10 spesis enggang atau kenyalang yang sukar didapati di kawasan lain. Di antara Julai hingga September, ratusan enggang boleh dilihat dan lebih kerap di sekitar tasik buatan di sini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Malah, hutan itu juga sering didatangi satu lagi spesis iaitu Enggang Hutan (Plain-pouched Hornbill) atau nama saintifiknya Aceros subruficollis. Spesies itu adalah satu-satunya enggang migrasi dari Thailand, yang turut menjadikan Hutan Ulu Muda di Padang Terap, Kedah sebagai ‘rumah keduanya’.
Sembilan lagi spesis enggang sememangnya menjadikan hutan berusia 130 juta tahun itu sebagai habitat.
Jadi tambah beliau, amat merugikan jika keunikan kawasan itu tidak dipromosi dengan lebih meluas sebagai destinasi ekopelancongan negara khususnya buat peminat burung dari serata dunia yang sanggup datang ke negara ini semata-mata mahu melihat gelagat burung-burung itu.
Hampir pupus
Andrew berkata menerusi ekspedisi itu, pihaknya berusaha membantu Belum Rainforest Resort dan Perbadanan Taman Negeri Perak mengenal pasti spesies burung yang terdapat di hutan itu sekali gus boleh dieksploitasi sebagai produk pelancongan baharu berasaskan pakej melihat burung selain elemen semula jadi lain dan diketengahkan sebelum ini.
“Ekspedisi diadakan pada bulan ini kerana ini merupakan bulan bagi enggang hutan migrasi dari tempat pembiakannya di negara jiran. Untuk tahun lepas sejumlah 100 hingga 3,261 ekor enggang itu dilihat sini,” katanya.
Mengenai Enggang Tebang Mentua yang diancam kepupusan pula, Andrew berkata pihaknya kini dalam usaha memantau dan memberi kesedaran kepada umum akan kepentingan spesis unggas berkenaan biarpun ia hanya masih boleh dilihat di hutan itu.
Enggang Tebang Mentua adalah spesis yang sangat menarik dan mempunyai bonjolan besar berwarna merah seperti gading di atas paruhnya serta ekornya adalah lebih panjang berbanding spesis enggang lain.
“Taburan unggas berkenaan boleh didapati di Asia Tenggara, tapi semua negara merekodkan bahawa spesies itu kini hampir pupus kerana dibunuh oleh pemburu haram bagi mendapatkan gading ‘red ivory’ nya di pasaran gelap. Sesetengah percaya gading enggang itu punyai tuah dan berkhasiat untuk mengubati penyakit,” katanya.
Destinasi pemerhati burung
Berpeluang ‘menghendap’ unggas yang pelbagai itu terbang bebas di habitatnya di Hutan Royal Belum adalah satu pengalaman menakjubkan bagi penulis. Aktiviti yang dianjurkan sempena ‘Royal Belum International Hornbill Expedition 2018’ itu disertai sekumpulan pencinta burung dari dalam dan luar negara.
Berdasarkan beberapa siri tinjauan bersama pakar burung, antara enggang yang menanti untuk diburu menggunakan teropong atau lensa kamera di situ termasuk Enggang Tebang Mentua (Helmeted Hornbill), Enggang Kelingking (Oriental Pied Hornbill), Enggang Kekek (Black Hornbill), Enggang Buluh (Bushy-crested Hornbill), Enggang Berkedut (Wrinkled Hornbill), Enggang Badak (Rhinoceros Hornbill), Enggang Papan (Great Hornbill), Enggang Bulu (White-crowned Hornbill), Enggang Gunung (Wreathed Hirnbill) serta Enggang Hutan (Plain-pouched Hornbill).
Menurut laporan kaji selidik Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), kedatangan 3,150 peminat burung dari luar negara ke negara ini pada 2015 telah menjana perbelanjaan kira-kira RM20.3 juta.
Malah Malaysia berada di tempat kelima di benua Asia sebagai destinasi pilihan pemerhati burung liar selepas negara India, China, Thailand dan Indonesia.
Kompleks Hutan Belum Temengor yang seluas seluas 300,000 hektar itu diwartakan pada 3 Mei 2007 dan merupakan perlindungan untuk pelbagai hidupan liar dan burung serta mempunyai lebih 12,000 spesis flora dan fauna. – Bernama