KOTA KINABALU, 9 Ogos – Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, dekat sini, akan menjadi mercu tanda baharu bagi Sabah apabila bangunan ikonik setinggi enam tingkat yang siap dibina pada April lepas itu beroperasi sepenuhnya pada September depan.
Bangunan baharu bernilai RM177 juta itu dibina di atas tanah seluas 2.53 hektar dengan dilengkapi 16 bilik bicara terdiri daripada satu Mahkamah Persekutuan, tiga Mahkamah Tinggi, enam Mahkamah Seksyen termasuk Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak dan enam Mahkamah Majistret.
Kompleks itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti ruang pejabat mengandungi kamar hakim; bilik persidangan; bilik mesyuarat; perpustakaan; selain kemudahan sistem teknologi maklumat termasuk sistem Rakaman Transkrip Mahkamah dan internet jalur lebar berkelajuan tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk V.K Liew berkata pembinaan dan penyediaan prasarana serba lengkap bagi keperluan badan kehakiman itu akan menjadi kebanggaan buat warga Sabah termasuk pengamal undang-undang di negeri ini.

“Saat inilah yang sangat dinanti-nantikan bukan hanya bagi badan kehakiman dan kalangan pengamal undang-undang tempatan, tetapi juga bagi penduduk Sabah,” katanya menyaksikan majlis penyerahan projek kompleks baharu itu, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum menyerahkan replika kunci kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah sebagai simbolik penyerahan bangunan kompleks mahkamah baharu itu kepada pihak pengurusan.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Seri Ir. Dr. Roslan Md Taha; dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Datuk Jalil Marzuki.
Liew berkata proses perpindahan operasi dan kakitangan dari bangunan kompleks mahkamah lama kini sedang dijalankan dan dijangka selesai pada penghujung bulan ini. – Bernama