Kompleks Mahkamah Sivil Tawau dijangka siap 2023

TAWAU, 8 SEPT – Kerajaan akan membina sebuah Kompleks Mahkamah Sivil Tawau yang baharu dengan membabitkan peruntukan hampir RM100 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata pembinaan kompleks itu bertujuan menampung kapasiti kes yang semakin meningkat di mahkamah sedia ada yang telah dibina sejak 1981.

“Ketika ini, kita masih menunggu kelulusan tapak daripada kerajaan negeri dan bangunan mahkamah ini akan terletak berhampiran Mahkamah Syariah Tawau (yang akan dibina tahun hadapan) serta Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau,” katanya sambil menambah, kompleks itu akan dibina di atas tanah seluas 2.02 hektar dan dijangka siap pada 2023.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam perdana anjuran Badan Perhubungan PAS Sabah, di sini, malam tadi.

Katanya, kompleks itu akan dilengkapi sembilan bilik perbicaraan merangkumi dua Mahkamah Tinggi, tiga Mahkamah Sesyen dan empat Mahkamah Majistret, berbanding hanya empat bilik bicara di mahkamah sedia ada di kawasan bandar. – Bernama