Kompleks Sukan Jasin bernilai 10 juta bakal dibina

MELAKA, 20 NOV – Kerajaan Negeri Melaka akan membina sebuah Kompleks Sukan Jasin dengan kos bernilai RM10 juta yang dijangka bermula awal tahun depan, kata Exco Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Beliau berkata projek pembangunan fasiliti sukan di Jasin Bestari dekat sini itu melibatkan kawasan seluas 1.61 hektar menerusi peruntukan daripada Rancangan Malaysia Ke-11 di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan tempoh pelaksanaan projek selama 12 bulan.

Katanya, kemudahan yang dibina di kompleks sukan berkenaan termasuk gelanggang futsal dan bola jaring, dewan tertutup menempatkan dua gelanggang badminton, auditorium berkapasiti 100 orang, asrama, pejabat pentadbiran dan kafeteria.

“Kompleks sukan di daerah Jasin itu dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada awal tahun 2022 sekali gus bakal memenuhi kehendak masyarakat setempat, khususnya golongan belia untuk menikmati kemudahan beriadah dan bersukan dengan lebih selesa.

“Kerajaan negeri juga sentiasa memantau keadaan kemudahan sukan yang ada di negeri ini supaya semua fasiliti dapat diselenggara atau ditambah baik agar dapat dimanfaatkan semua masyarakat,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. – Bernama